Peniaga Melayu, Cina sama-sama jual... Maksud, asal usul yong tau fu jadi persoalan
SEMANGAT muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia membolehkan sajian tempatan dinikmati tanpa mengira bangsa, sekali gus menjadikan makanan sebagai 'jambatan' perpaduan.
Bagaimanapun, ada kalanya timbul persoalan mengenai asal-usul sesuatu hidangan.
Seorang lelaki mencetuskan perbualan hangat di Threads selepas mengajukan soalan tentang latar belakang hidangan yong tau fu yang banyak dijual di negara ini.
Dalam perkongsiannya, dia bertanya sama ada yong tau fu sebenarnya makanan masyarakat Cina atau Melayu kerana golongan peniaganya terdiri daripada kedua-dua bangsa ini.

“Yong tau fu. Sebenarnya ni makanan orang Cina ke Melayu? Kenapa Melayu ramai jual?
“Kenapa Cina lebih banyak makan mi kari daripada yong tau fu ni? Anyone can explain what is the meaning of yong tau fu?
“Char kuetiau tu saya tau la maksudnya kuetiau goreng. Sebab 'char' adalah goreng,” tulisnya di Threads.
Pertanyaan itu turut membuka ruang perbincangan lebih luas apabila ramai pengguna tampil menjelaskan maksud sebenar yong tau fu.
MENARIK DIBACA: Wanita buat bolognese letak budu ganti sos worcestershire, Kelantan 'mendonia' - "Sedap sampai langit"
MENARIK DIBACA: Suka buang lebihan minyak dalam singki? Cuba trik mudah ini, dijamin tak tersumbat
Menurut perkongsian netizen, hidangan itu berasal daripada sajian tradisional masyarakat Hakka, China yang membawa maksud tauhu disumbat.
Menariknya, hidangan itu turut menggunakan sayur seperti kacang panjang, terung, cili dan peria disumbat dengan pes ikan atau daging sebelum dimasak sama ada direbus atau digoreng.

Namun di Malaysia, yong tau fu melalui proses ‘adaptasi tempatan’ ketara dan versi yang dijual kebanyakan peniaga Melayu lebih kepada gabungan bebola ikan, 'crab stick', sosej dan bahan sejuk beku diambil terus daripada pembekal, berbanding versi asli dibuat secara manual.
Perbezaan ini turut menimbulkan perbandingan dengan hidangan lain seperti char kuetiau versi Melayu yang lebih basah manakala versi Cina pula lebih kering dan berasap bergantung kepada teknik masakan masing-masing.

Ada juga netizen menjelaskan kekeliruan sering berlaku apabila yong tau fu disamakan dengan 'oden' kerana penggunaan bahan sejuk beku hampir sama, walaupun asal-usul kedua-duanya berbeza.
Selain itu, ramai turut menyenaraikan pelbagai makanan berasaskan budaya Cina menjadi kegemaran tanpa mengira bangsa seperti pau, tau fu fah, lok lok, char kuetiau, nasi ayam Hainan dan mi Hokkien.
“Yong tau fu yang Melayu jual jauh dari actual one. I see mostly packaged processed food like fish cake, fish ball, crab stick. Chinese one mostly hand made.
“Saya terkejut bila pergi kedai yong tau fu Melayu semua jual 'frozen'..tu bukan yong tau fu tapi oden. Barang 'frozen',” antara komen netizen.