Rumah Terbuka ‘Next Level’ SMG satukan mStar, Suria dan Kuali meriah dihadiri selebriti, pemain industri
GEMA takbir mungkin sudah berlalu, namun semangat Syawal tetap membara di Rumah Terbuka Next Level anjuran Star Media Group (SMG).
Majlis yang berlangsung penuh warna-warni di Saloma, Kuala Lumpur pada Rabu itu bukan sekadar sebuah majlis kemeriahan walaupun Aidilfitri telah berlalu tetapi merupakan satu manifestasi penyatuan tiga produk berbahasa Melayu iaitu mStar, Suria dan Kuali dalam satu acara berskala besar yang cukup berprestij.

Gimik pelancaran Kuali bersama Chan Seng Fatt (dari kiri), Vanessa Lim, Chef Wan dan Esther Ng.
Suasana di dewan utama mula meriah seawal pukul 4 petang apabila para tetamu dalam kalangan rakan niaga, selebriti serta pempengaruh mula memenuhi ruang, disambut dengan aroma juadah yang membangkitkan selera.
Sambil beramah mesra, para hadirin sempat menjamah hidangan ringan sebelum majlis dibuka secara rasmi sekitar pukul 5 petang dengan ucapan alu-aluan penuh bermakna serta bacaan doa bagi memberkati majlis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt, dalam ucapannya menegaskan bahawa tema Next Level bukanlah sekadar nama, sebaliknya simbolik kepada tekad syarikat untuk terus berevolusi dan melahirkan nilai impak tinggi dalam kancah media yang semakin mencabar.

Pelbagai hidangan disediakan, sedap-sedap belaka.
Beliau menyifatkan integrasi ini sebagai langkah berani SMG untuk terus relevan dan dekat di hati audiens setianya.
Detik yang dinanti-nantikan tiba apabila tirai pelancaran wajah baharu Kuali mengambil tempat sekitar pukul 5.15 petang melalui tayangan video pengenalan yang dinamik.
Setelah lebih dua dekad mengukuh reputasi sebagai portal resipi bahasa Inggeris, kini Kuali bertransformasi sepenuhnya ke dalam Bahasa Melayu yang secara rasminya menemui pembaca pada 1 Julai 2025.
Dengan slogan ‘Lebih Daripada Resipi’, ia kini tampil dengan pengisian kulinari yang lebih segar, interaktif, dan dekat dengan cita rasa tempatan.

Antara tetamu yang hadir dengan baju raya masing-masing walaupun Syawal telah berlalu.
Pelancaran bersejarah itu diserikan lagi dengan kehadiran ikon kulinari Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang menyempurnakan gimik bersama barisan pengurusan tertinggi SMG serta rakan strategik yang menaja segmen berkenaan iaitu Ketua Pemasaran Kanan Serantau, The Arnott’s Group, Vanessa Lim.
Turut sama menyaksikan pelancaran ini ialah Ahli Lembaga Pengarah SMG, Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang.
Suasana menjadi gamat apabila Cef Wan mula beraksi menggaul Spageti Udang Banjir Tomato Ala Kimball di dalam kawah, menggunakan produk Kimball yang menambah elemen kemeriahan pada petang itu.

Pengurus Besar SuriaFM, DJ Lin (dua dari kanan) bersama barisan penyampai.
Lebih menarik, kecanggihan teknologi turut disuntik melalui paparan visual holographic fan yang memukau mata.
Imej bahan masakan tiga dimensi yang seolah-olah terapung di udara itu memberikan sentuhan futuristik, selaras dengan semangat transformasi yang ingin dibawakan oleh SMG.

Chef Wan bersama pengurusan SMG iaitu (dari kiri) Esther Ng, Johan, Chan Seng Fatt, Chin Keat Chyuan dan Lydia Wang.
Selesai urusan pelancaran, pentas utama mula dihangatkan dengan alunan suara merdu Wany Hasrita yang membawakan lagu Lembayung Tari dan Empat Dara.
Tidak lama kemudian, giliran Aisha Retno pula memukau hadirin dengan vokal mantapnya menerusi lagu tular Ketipak Ketipung Raya serta lagu raya paling viral 2026 iaitu Jodoh Lebaran, sekali gus menaikkan lagi mood keraian di dalam dewan.

Tetamu yang hadir berpeluang bergambar di photowall yang disediakan.
Tepat pukul 6 petang, suasana bertukar menjadi lebih sayu dan penuh bermakna apabila segmen mStar Baek dengan kerjasama KPJ Healthcare mengambil tempat.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kini memasuki musim keempat itu membuktikan keprihatinan mStar terhadap nasib golongan memerlukan menerusi lapan episod yang memaparkan kisah perjuangan artis veteran, pesakit kronik, dan individu orang kurang upaya (OKU).

Aisha menghiburkan tetamu dengan persembahan penuh bersemangat menyanyikan lagu Jodoh Lebaran.
Keheningan dewan jelas terasa apabila montaj barisan penerima sumbangan ditayangkan.
Paparan visual mengenai jerih perih dan ketabahan mereka menyentuh hati tetamu yang hadir.
Antara sosok yang mendapat perhatian termasuklah atlet paralimpik kebangsaan, Haziq Danish dan remaja yang mengalami masalah pendengaran, Muhammad Aqil Rayyan, serta wajah-wajah yang tidak asing dalam dunia seni seperti Harun Hashim dan Shahriza Mahmud. Pelakon Didie Alias muncul sebagai penerima sumbangan mewakili anak kepada aktres Amyza Aznan, Adrian Adam Khairil Izhar yang tidak hadir akibat masalah kesihatan.

Jazmy Juma (foto kiri) serta Eric Fuzi dan Ayie Elham (Floor88) turut hadir.
Sebagai tanda sokongan, majlis turut menyaksikan sesi penyerahan sumbangan tunai berjumlah RM3,000 berserta bantuan rawatan kesihatan kepada setiap penerima yang disampaikan oleh Presiden dan Pengarah Urusan, KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan.
Inisiatif ini membuktikan bahawa dalam mengejar kemajuan media, kebajikan komuniti tidak pernah sesekali dipinggirkan.

Tetamu yang hadir ketika majlis pelancaran Kuali dan mStar Baek.
Sambil menghayati setiap segmen, para tetamu terus dihidangkan dengan kepelbagaian juadah tradisi yang menyelerakan.
Daripada sate ayam dan daging yang dibakar sempurna, laksa utara, hinggalah nasi tomato bersama ayam masak merah yang klasik.
Tidak ketinggalan, sajian wajib seperti lemang, kuetiau goreng dan roti canai serta aneka kuih-muih tradisional dan air balang yang menyegarkan turut melengkapkan selera.

Antara selebriti dan tetamu yang hadir ke rumah terbuka diadakan.
Selain menikmati hidangan, tetamu tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan di sudut photowall yang disediakan di pintu masuk.
Masing-masing tampil segak dan anggun berbaju Melayu serta berkurung, menjadikan setiap sudut dewan tampak berwarna-warni dan penuh dengan senyuman.

Roslan ketika meriahkan majlis bersama tetamu dan selebriti.
Apabila malam menjelma, giliran SuriaFM pula mengambil alih pentas untuk terus memanaskan suasana.
Majlis dimulakan dengan tayangan muzik video raya SuriaFM Gurindam Aidilfitri sebelum diteruskan dengan persembahan bertenaga daripada Shiha Zikir dan Nuha Bahrin yang berjaya membuatkan tetamu turut menyanyi bersama.
Keadaan menjadi semakin gamat dan interaktif apabila duo sensasi, Roslan Shah dan Ifa Raziah, tampil mengendalikan sesi kuiz serta penyampaian hadiah buat tetamu dan selebriti yang mengenakan busana terbaik.
Gelagat spontan mereka nyata mengundang tawa dan menjadikan acara penutup semakin tidak dapat dilupakan.

Sekitar 700 tetamu hadir ke acara rumah terbuka pada tahun ini.
Rumah Terbuka Next Level ini sekali gus menjadi simbol transformasi SMG dalam melangkah ke fasa baharu dengan menggabungkan platform, kandungan dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih kukuh.
Kehadiran sekitar 700 tetamu yang terdiri daripada rakan industri, pempengaruh, dan selebriti terkenal bukan sahaja memeriahkan majlis, malah menjadi bukti kukuhnya silaturahim dalam landskap media tanah air.
Rumah Terbuka Next Level ini akhirnya berdiri teguh sebagai simbol transformasi SMG dalam melangkah ke masa hadapan yang lebih gemilang, menyatukan kandungan dan komuniti dalam satu wadah dinamik.
Ia dijayakan dengan kerjasama sepenuhnya oleh KPJ Healthcare dan Kimball selaku rakan strategik majlis ini.