Geram lihat tomato dibuang macam sampah, pekebun dituduh kapitalis! Ini realiti di sebalik kejadian
TULAR rakaman memaparkan lambakan sayur sayuran seperti tomato dibuang di kawasan kebun berdekatan Tanah Tinggi Lojing, Kelantan.
Video itu mencuri tumpuan ramai termasuk seorang netizen yang meluahkan rasa kesal melihat situasi tersebut.
Menurutnya, sayuran berkenaan sepatutnya boleh dimanfaatkan dengan lebih baik, antaranya disumbangkan ke pusat pemulihan haiwan atau zoo berbanding dibuang begitu sahaja.
“Tolonglah jangan buang sayur-sayuran macam ni. Boleh dermakan ke zoo atau NGO, banyak je kat negara kita. Tolong edarkan kepada mereka yang lebih memerlukan,” tulisnya di laman Threads.

Perkongsian itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen yang rata-rata bersetuju dengan cadangan tersebut.
Malah, ada yang menyelar tindakan segelintir pekebun dan mendakwa mereka lebih mementingkan keuntungan berbanding melakukan kebajikan.
“Tolonglah sumbang kepada pusat pemulihan haiwan. Mereka pun tengah terkesan dari segi kewangan.
“Sanggup buang daripada turunkan harga. 100 peratus kapitalis,” komen seorang netizen.
MENARIK DIBACA: Tak susah pun! Lelaki ini kongsi step untuk 'beginner' mahu belajar tanam sayur di rumah
MENARIK DIBACA: Krisis Asia Barat: Tanam 7 sayur mudah tumbuh ini di rumah... Cepat dapat hasil, senang nak jaga
Namun begitu, tidak kurang juga yang tampil mempertahankan pekebun dengan menjelaskan situasi sebenar yang dihadapi di lapangan.
Menurut mereka, kos penghantaran yang tinggi menjadi antara faktor utama hasil tanaman tidak dapat diagihkan kepada pihak lain.
Dengan harga diesel yang meningkat, ramai pekebun terpaksa mengambil langkah tersebut bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
“Kalau zoo perlukan makanan macam ni, apa kata pihak zoo sendiri sediakan orang untuk ambil dan angkut masuk.
“Bukannya pekebun pula nak kena hantar. Kos barang dah banyak terbuang, takkan nak tambah kos penghantaran lagi,” jelas seorang pengguna.

Dalam masa sama, ada juga yang melihat tindakan membuang hasil tanaman itu dari sudut berbeza apabila menyifatkannya bukan sebagai pembaziran.
“Tak ada istilah buang sebenarnya, kembali kepada tanah. Jadi baja kepada tanah itu sendiri,” tulis seorang lagi netizen.
Sebelum ini, media melaporkan puluhan tan hasil tanaman seperti tomato terpaksa dibuang oleh pekebun di Tanah Tinggi Lojing akibat tiada permintaan daripada pemborong.
Ini kerana banyak tanaman import dari China, Thailand dan Vietnam yang masuk dalam pasaran menyebabkan harga sayur di kawasan itu turun mendadak dan menyebabkan penanam sayur rugi besar.