Domino's kolaborasi dengan Minecraft, makan piza lebih seronok!
PEMINAT permainan video Minecraft kini boleh menikmati pengalaman berbeza menerusi kolaborasi Domino’s Pizza Malaysia dengan Minecraft Dungeons II yang menggabungkan sajian piza dan ganjaran dalam permainan.
Kolaborasi itu mencerminkan usaha Domino’s untuk mendekati komuniti peminat permainan video menerusi pendekatan yang lebih kreatif dan interaktif
Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Domino’s Pizza bagi Malaysia, Singapura dan Kemboja, Ringo Joannes berkata minat pengguna terhadap makanan, hiburan dan permainan video kini semakin saling berkait.
Menurutnya, Domino’s sebagai sebuah jenama perlu sentiasa memahami perkara yang dekat dengan pelanggan serta mencari pendekatan bermakna untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
"Minecraft telah membina komuniti luar biasa yang berteraskan kreativiti, penerokaan dan pengalaman bersama.

"Kami melihat persamaan dengan Domino’s yang sememangnya menjadikan piza sebagai medium untuk menyatukan orang ramai.
"Kerjasama ini membolehkan kami mendekati komuniti berkenaan menerusi piza yang boleh dinikmati serta pengalaman yang boleh mereka sertai," katanya.
Dalam pada itu, menerusi kempen bertemakan Unbox Your Cravings, Domino’s turut membawa kembali menu popular Mac & Cheesy yang menampilkan gabungan makaroni berkeju di atas piza dengan tiga pilihan perisa bagi memenuhi selera pelanggan.
Kemunculan semula Mac & Cheesy menjadi antara tarikan utama kolaborasi kali ini dengan tiga variasi yang ditawarkan iaitu The OG, Roasted Chicken Craft dan Truffle Chicken Stack.
The OG menampilkan gabungan makaroni berkrim bersama keju mozzarella yang cair dan kenyal serta dilengkapi taburan rumpai laut berperisa savuri.
Pilihan ini mengekalkan cita rasa klasik Mac & Cheesy yang sebelum ini mendapat sambutan pelanggan.
Bagi penggemar ayam, Roasted Chicken Craft menawarkan kombinasi asas keju yang sama dengan tambahan ayam panggang bagi menghasilkan rasa lebih mengenyangkan dan berperisa.

Sementara itu, Truffle Chicken Stack pula memberikan pilihan dengan rasa lebih mewah menerusi gabungan makaroni dan keju berkrim, mozzarella, sosej ayam serta cendawan yang dilengkapkan dengan sos trufel berkrim dan taburan rumpai laut.
Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh menaik taraf piza pilihan dengan tambahan kerak berinti sosej ayam berjus pada harga RM6 bagi piza regular sembilan inci atau RM9 bagi saiz large 12 inci.
MENARIK DIBACA: Chef Fikree kongsi tip penting masak tomyam asli 'kaw', boleh guna pes tapi tak jamin sedap
MENARIK DIBACA:Minum kola, makan garam antara tip elak perut meragam dan cirit birit bercuti di 'overseas'
Antara tarikan utama kolaborasi itu ialah empat koleksi sarung kotak piza edisi khas Minecraft Dungeons II yang menampilkan watak Creeper, Zombie, Prime Enchanter dan Corrupted Creeper.
Setiap kotak piza Mac & Cheesy bersaiz sembilan inci Regular akan disertakan dengan satu sarung kotak koleksi secara rawak.
Pelanggan berpeluang mengumpul kesemua empat rekaan berkenaan sebagai sebahagian daripada edisi kolaborasi terhad itu.