Rahsia ayam masak merah majlis kenduri sedap semacam, balik rumah masih teringat
PERNAH tak makan ayam masak merah di majlis kenduri kahwin sampai teringat-ingat kesedapannya selepas balik ke rumah?
Ayamnya pula lembut, cukup rasa dan disaluti kuah merah yang pekat serta kaya dengan aroma rempah.
Sekali makan, memang terasa hendak tambah nasi berkali-kali!
Walaupun nampak seperti lauk biasa, ayam masak merah di kenduri kahwin sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri.
Rahsia kesedapan ayam masak merah ini terletak pada gabungan bawang besar, halia dan serai yang dikisar, selain penggunaan rempah tiga sekawan yang menaikkan aroma masakan.
Lebih penting, ayam dibiarkan mereneh bersama sambal selama kira-kira 30 minit supaya rasanya meresap dan sebati.

Proses inilah yang menghasilkan kuah pekat, harum dan tidak terasa mentah.
Kalau selama ini tertanya-tanya bagaimana hendak menghasilkan ayam masak merah sesedap hidangan kenduri, bolehlah cuba resipi yang dikongsikan oleh Ainatul Asnuriza menerusi Threads ini.
Jom Kuali tunjukkan cara-cara penyediaannya!
Bahan-bahan
- 1 ekor ayam
- Garam secukup rasa
- Serbuk kunyit secukupnya
- Minyak
- 2 biji bawang besar
- 1 inci halia (sebesar ibu jari)
- 3 batang serai untuk dikisar
- 1 batang serai untuk ditumis
- 3 sekawan (bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga)
- ¾ sudu gula
- 1 biji bawang Holland
- Garam secukup rasa
MENARIK DIBACA: Buah tanpa biji dikaitkan dengan GMO, tiada khasiat... Ketahui fakta ini!
MENARIK DIBACA: Luar biasa penangan sambal totok Jawa, buat nasi goreng pun sedap!
Cara penyediaan
- Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga separuh masak atau sedikit keperangan. Angkat dan ketepikan.
- Seterusnya, kisar bawang besar, halia dan serai sehingga halus.
- Gunakan minyak lebihan menggoreng ayam tadi untuk menumis. Masukkan bahan tiga sekawan bersama sebatang serai dan tumis sehingga naik bau.
- Kemudian masukkan semua bahan yang telah dikisar tadi. Kacau rata dan biarkan ia masak sebentar sehingga aromanya naik.
- Masukkan bahan-bahan tambahan untuk kuah mengikut cita rasa dan kacau sehingga sebati. Tidak perlu menunggu sehingga tumisan benar-benar pecah minyak.
- Masukkan ¾ sudu gula dan kacau rata supaya rasa kuah lebih seimbang.
- Perlahankan api, kemudian masukkan semua ayam yang telah digoreng tadi. Gaul sehingga ayam bersalut dengan kuah dan biarkan mereneh selama kira-kira 30 minit supaya kuah meresap ke dalam isi ayam.
- Akhir sekali, masukkan hirisan bawang Holland dan tambahkan garam secukup rasa. Kacau perlahan-lahan dan biarkan seketika sehingga bawang sedikit layu, sedia untuk dihidangkan.