Banyak pasangan amal 'food divorce', sebenarnya sedang rosakkan hubungan - Pakar
KESIBUKAN kerja, berbeza cita rasa dan keperluan pemakanan dengan pasangan membuatkan sesetengah individu memilih untuk makan secara berasingan.
Amalan yang kian menjadi kebiasaan ini dikenali sebagai food divorce dan semakin mendapat perhatian di media sosial.
Menurut laporan media antarabangsa, walaupun makan secara berasingan dilihat sebagai pilihan praktikal terutama bagi pasangan mempunyai jadual harian berbeza, tabiat ini mengurangkan peluang pasangan berkomunikasi.
Pakar pemakanan berdaftar di North Carolina, Amerika Syarikat, Tanya Freirich berkata, kesibukan merupakan antara faktor menyebabkan pasangan memilih untuk makan pada waktu berbeza.

Menurutnya, waktu makan sebenarnya bukan sekadar untuk memenuhi keperluan tubuh terhadap makanan dan nutrien, sebaliknya turut mempunyai fungsi sosial penting.
"Waktu makan boleh menjadi peluang untuk berkumpul, berkomunikasi, membina hubungan sosial dan mengeratkan hubungan," katanya.
Freirich menjelaskan, terlalu kerap makan bersendirian atau pada waktu berbeza daripada pasangan boleh menyebabkan kurangnya interaksi antara satu sama lain.
Dalam jangka panjang, keadaan itu berpotensi mewujudkan jarak dalam hubungan dan menyumbang kepada perasaan terasing.
MENARIK DIBACA: Influencer sering buat 'content' makan ekstrem maut, sempat pesan kesihatan penting daripada wang
MENARIK DIBACA: Cara buat sos lada hitam 'terangkat', gula Melaka rahsia 'kaw'!
Selain aspek hubungan, menyediakan hidangan berbeza untuk setiap individu juga boleh menyebabkan perbelanjaan barangan dapur meningkat selain memerlukan lebih banyak masa untuk memasak dan mengemas.
Satu kajian turut mendapati individu makan bersendirian cenderung menghabiskan makanan dengan lebih cepat, menggunakan telefon bimbit ketika makan atau memilih makanan lebih mudah dan kurang sihat.
Jelasnya, perbezaan keperluan pemakanan tidak bermakna pasangan perlu menyediakan dua hidangan sepenuhnya berbeza.
Freirich mencadangkan makanan disediakan untuk dinikmati bersama, tetapi setiap individu boleh menentukan jenis dan jumlah makanan mengikut keperluan masing-masing.
Sebagai contoh, lauk, sayur-sayuran dan sumber karbohidrat boleh dihidangkan secara berasingan supaya setiap orang bebas memilih makanan serta jumlah sesuai.

Kaedah ini bukan sahaja lebih mudah, malah dapat mengurangkan keperluan menyediakan dua hidangan berbeza setiap kali waktu makan.
Pasangan boleh menetapkan waktu tertentu untuk makan bersama, seperti bersarapan pada hujung minggu atau memilih satu malam khusus untuk menikmati hidangan berdua.
"Usahakan untuk benar-benar meluangkan masa bersama apabila ada kesempatan," katanya.
Dalam kesibukan kehidupan seharian, waktu makan mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi rutin ringkas ini boleh menjadi salah satu ruang pasangan kembali berhubung.