Cara buat sos lada hitam 'terangkat', gula Melaka rahsia 'kaw'!
KALAU anda penggemar sos lada hitam yang pekat dan 'kaw', apa saja hidangan disaluti sos sebegini pasti membuka selera.
Kebiasaannya sos ini dinikmati bersama 'steak', ayam dan daging bakar serta beberapa hidangan lain.
Apa yang pasti, tak perlu susah-susah mencari sos lada hitam di kedai kerana ia sebenarnya boleh disediakan sendiri di rumah.
Di Threads seorang wanita berkongsi resipi sos lada hitam yang cukup mudah dan boleh dicuba sendiri menggunakan beberapa bahan.
Menurutnya, resipi ini boleh menghasilkan sos untuk kira-kira lima hingga enam orang.
Jika mahu menyediakan dalam kuantiti yang lebih banyak, sukatan bahan hanya perlu digandakan.
Penggunaan gula Melaka dikatakan antara bahan trik penting untuk menghasilkan rasa sos yang lebih sedap dan seimbang.

Dia turut berkongsi beberapa petua lain seperti untuk mendapatkan tekstur sos yang diinginkan.
Jika sos terlalu cair, boleh ditambahkan sedikit lagi bancuhan air tepung.
Sebaliknya, jika sos terlalu pekat, masukkan sedikit air dan kacau sehingga mendapat tekstur yang sesuai.
Bagi yang sukakan rasa pedas dan lebih menyengat, lada hitam atau serbuk cili boleh ditambah mengikut cita rasa.
Bahan-bahan
- 1 paket lada hitam biji ditumbuk kasar
- 1 biji bawang Holland
- 4 sudu besar tepung gandum dibancuh bersama air
- 2 botol sos lada hitam
- ½ potong mentega
- 2 hingga 3 sudu besar serbuk cili
- 1 hingga 2 ketul gula Melaka
- Garam secukupnya
- Kicap secukupnya
- 3 hingga 4 cawan kecil air
MENARIK DIBACA: Berpuluh kali cuba baru jadi! Wanita kongsi tip buat kulit risol sempurna, anti koyak
MENARIK DIBACA: Kulit buah naga rahsia cantikkan kulit muka, wanita kongsi petua 'aunty Cina'
Cara penyediaan
- Hiris bawang Holland dan tumis bersama mentega menggunakan api kecil sehingga naik bau.
- Setelah bawang masak dan wangi, kisarkan sehingga halus. Kemudian masukkan semula bahan yang dikisar ke dalam kuali.
- Masukkan serbuk cili dan tumis seketika bagi menghilangkan rasa mentah.
- Kemudian masukkan lada hitam yang sudah ditumbuk kasar. Lebihkan lada hitam jika mahukan rasa yang lebih ‘kaw’ dan pedas.
- Tuang sos lada hitam, kemudian masukkan air dan biarkan campuran tersebut mendidih.
- Masukkan bancuhan tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau supaya tidak berketul. Teruskan memasak sehingga mendapat tahap kepekatan yang diingini.
- Akhir sekali, perasakan dengan garam, kicap dan gula Melaka. Gula Melaka dikatakan penting untuk memberikan rasa yang lebih seimbang kepada sos.
- Setelah cukup rasa dan mencapai kepekatan yang diingini, sos lada hitam siap untuk dihidangkan.