Bagai tak percaya! Wanita AS buat pewarna rambut guna kulit rambutan
SETIAP kali makan rambutan, tentu kulitnya akan terus dibuang kerana dianggap sudah tidak berguna.
Lain pula dengan seorang wanita dari Amerika Syarikat yang mengaku berjaya menghasilkan pewarna rambut menggunakan kulit rambutan.
Menerusi perkongsian @beheshte.beauty di laman Threads, wanita itu menunjukkan proses menghasilkan pewarna semula jadi daripada pigmen kulit buah berkenaan.
“Semua orang makan buahnya, hampir tiada siapa menyimpan bahagian ini. Kulit rambutan sebenarnya ada satu lagi rahsia,” katanya.

Menerusi video tersebut, wanita itu terlebih dahulu mengasingkan isi buah rambutan sebelum merendam kulitnya seketika di dalam air.
Kulit rambutan kemudiannya dikisar sehingga halus dan diperah menggunakan beg penapis atau 'nut milk bag' bagi mengeluarkan jusnya.
Cecair ekstrak tersebut kemudian dididihkan di atas dapur sehingga kandungan air berkurangan dan warnanya berubah menjadi lebih pekat serta gelap.
Selepas itu, ekstrak kulit rambutan yang sudah pekat dicampurkan dengan sejenis serbuk berwarna gelap yang digunakan dalam proses pewarnaan tersebut.
MENARIK DIBACA: Pajeri rambutan bukan menu pelik, ramai dah makan sejak kecil... Boleh juga masak kari
MENARIK DIBACA: Rambutan tinggi nutrisi 'dituduh' bahaya! Wanita tegur ibu dalam pantang terlalu percaya mitos
Serbuk berkenaan kemudiannya dipukul menggunakan 'whisk' sehingga campuran menjadi pes yang sekata sebelum disapu pada rambut.
Hasil akhirnya menunjukkan rambut wanita itu berubah warna selepas proses pewarnaan, didakwa menggunakan campuran berasaskan kulit rambutan tersebut.
Perkongsian video berkenaan turut menarik perhatian netizen Malaysia yang rata-rata teruja melihat kegunaan lain kulit rambutan yang selama ini sering dibuang begitu sahaja.
Malah, ada yang berseloroh mahu mencuba kaedah tersebut sekiranya ia benar-benar boleh menghasilkan warna rambut yang cantik.

“Bebetul la kak? Jadi merah lawo gitu. Ko jangan gula-gula kan kitaorang? Kang habis rambutan nenek aku depan rumah tu kang.
“Saya yang duduk negara ber-rambutan pun baru tahu boleh buat color rambut. Rambutan for rambut!” antara komen netizen.
Tidak kurang juga yang berseloroh mahu menggunakan buah-buahan tempatan lain untuk menghasilkan pewarna rambut.
“Kalau guna manggis jadi ungu la ek? Kalau durian pula warna hijau,” komen seorang pengguna Threads.