Pramugari kongsi sebab kenapa penumpang tak digalakkan pesan soda tanpa gula
MENIKMATI minuman sambil melihat pemandangan dari udara merupakan antara perkara menyeronokkan ketika menaiki kapal terbang.
Bagaimanapun, tidak semua minuman sesuai dipesan ketika berada dalam penerbangan.
Jika anda jenis penumpang yang gemar memesan air soda tanpa gula ketika berada dalam pesawat, mungkin selepas ini anda perlu berfikir dua kali jika mahu buat pesanan.
Menurut seorang pramugari, minuman soda tersebut menjadi antara pesanan yang agak mencabar untuk disediakan ketika dalam penerbangan.
Luke Gary mendedahkan bahawa minuman berkarbonat khususnya soda tanpa gula cenderung menghasilkan buih yang banyak apabila dituang ke dalam gelas.

Keadaan itu menyebabkan kru kabin terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat mengisi gelas penumpang sehingga penuh.
Menurut Gary, situasi sebegitu boleh menjadi lebih mencabar apabila penumpang membuat pesanan dalam jumlah yang banyak.
"Gelembung-gelembung itu mengambil masa kira-kira 60 saat untuk hilang sebelum anda mendapat suku cawan.
"Kemudian anda perlu terus menuangkannya sambil cuba mengajak penumpang berbual," katanya.
MENARIK DIBACA: Muak dengan menu telur rebus ketika diet? Cuba campur tuna dan yogurt, pasti berselera
MENARIK DIBACA: Beli mahal, sayang jika buang kulit udang! Boleh buat serbuk perasa, banyak manfaat lain
Bagi Gary, berbual dengan penumpang bukanlah satu masalah.
Bagaimanapun, keadaan boleh menjadi sedikit janggal apabila penumpang kebiasaannya memakai fon kepala dan tidak berminat untuk berbual dengan kru kabin.
"Kebanyakan mereka memakai fon kepala dan tidak mahu berbual dengan anda. Jadi apa yang perlu saya lakukan selama seminit? Berdiri sahaja di situ?" soalnya.

Kenapa soda diet lebih banyak buih?
Rupa-rupanya, ada sebab saintifik mengapa soda diet menghasilkan buih lebih banyak dan mengambil masa lebih lama untuk hilang.
Menurut McGill University, tahap buih dalam minuman berkarbonat dipengaruhi oleh sejauh mana karbon dioksida mudah membentuk gelembung dalam cecair.
Antara faktor yang memainkan peranan ialah tegangan permukaan dan kelikatan sesuatu minuman.
Soda diet mempunyai tegangan permukaan yang lebih rendah kerana formulanya mengandungi bahan yang membantu gelembung lebih mudah terbentuk termasuk pemanis tiruan seperti aspartam dan bahan pengawet kalium benzoat.
Pada masa sama, kelikatan turut mempengaruhi keadaan buih apabila cecair lebih likat biasanya menghasilkan gelembung lebih sedikit tetapi ia boleh bertahan lebih lama.
Dalam situasi air soda tanpa gula, kelikatannya sedikit lebih tinggi berbanding soda biasa menyebabkan buih terbentuk lebih stabil dan tidak cepat hilang.
Sebab itulah soda tersebut bukan sahaja lebih mudah berbuih malah buihnya juga mengambil masa lebih lama untuk menghilang.
Bagi penumpang, menunggu seketika untuk mendapatkan minuman kegemaran mungkin bukan satu masalah besar.
Justeru, jika mahu memudahkan urusan kru kabin dan mempercepatkan proses hidangan, minuman ringkas seperti air mineral mungkin menjadi pilihan yang lebih praktikal.