Bang Mat saran tanam nanas jika ada ruang kosong, tak perlu tunggu tanah luas
BERBUDI pada tanah pasti akan ada hasilnya.
Memang beruntung mereka yang ada tanah sendiri, walaupun saiznya cuma sekangkang kera, dapat juga bercucuk tanam secara kecil-kecilan.
Bukan untuk mencari untung, tapi sekadar memanfaatkan tanah kosong yang ada daripada terus terbiar.
Selain cili dan pandan, antara tanaman mudah yang boleh diusahakan adalah nanas.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sendiri menerusi perkongsiannya di Facebook menyarankan sesiapa yang memiliki tanah kosong untuk mula menanam nanas.

Kata Mohamad Sabu atau lebih mesra menggelarkan dirinya Bang Mat, penanaman nanas tidak memerlukan tanah luas, malah boleh ditanam di dalam polibag sahaja.
"Tanah keliling rumah ada, tapi kosong. Apa kata kita mula tanam nanas.
"Bukan susah nak jaga. Tak ada tanah luas pun tak apa, tanam saja dalam polibag.
"Letak tempat kena cahaya matahari, siram sikit-sikit dan baja sikit-sikit, Insya-Allah hidup elok," ujarnya.
MENARIK DIBACA: Pajeri nanas tanpa serbuk kari dan santan
MENARIK DIBACA: Roti ‘expired’ jangan dibuang, penyelamat serap bau busuk peti sejuk
Kongsinya lagi, selain mudah ditanam dan dijaga, nanas juga hanya memerlukan masa antara lapan hingga 12 bulan sebelum hasilnya boleh dituai.
Tambah Bang Mat lagi, selain boleh dinikmati sendiri, jika ada lebihan nanas juga boleh dikongsikan dengan jiran tetangga selain dijual secara kecil-kecilan.
"Kalau dapat sikit, makan rama-ramai dengan keluarga.
"Kalau ada lebih, hulur pada jiran.
"Kalau ada banyak, jual kecil-kecilan. Boleh tambah duit belanja dapur," katanya.

Kata menteri berusia 71 tahun itu, walaupun usaha yang dijalankan itu nampak kecil, namun dari situlah rezeki seseorang boleh berkembang.
Justeru, Mohamad Sabu menasihatkan masyarakat supaya sentiasa rajin berusaha tanpa berlengah menunggu adanya ladang yang luas.
Sekadar maklumat, nanas merupakan buah tropika yang kaya dengan vitamin C dan enzim bromelain.
Manfaat utama terkandung dalam buah nanas adalah ia mampu meningkatkan sistem imun tubuh, melancarkan pencernaan, mengurangkan keradangan serta menjaga kesihatan jantung.
