Pajeri nanas tanpa serbuk kari dan santan

PAJERI nanas merupakan salah satu masakan popular dalam kalangan masyarakat Melayu yang memiliki kombinasi rasa masam, manis dan pedas.
Sesuai dengan namanya, hidangan pajeri nanas menggunakan bahan utama iaitu buah nanas yang dimasak dengan campuran beberapa bahan rempah untuk dijadikan lauk dan dimakan bersama nasi.
Pajeri yang juga disebut pachri atau paceri diketahui berasal dari negara India tempatnya di Goa.
Di sana, hidangan tersebut dikenali sebagai pachedi, iaitu hidangan berasaskan rempah yang dimasak bersama sayur-sayuran atau buah-buahan.
Di Indonesia juga terdapat hidangan mirip seperti pajeri yang dikenali sebagai pachadi.
Bagaimanapun, hidangan tersebut memiliki rasa yang lebih kaya kerana turut menggunakan santan dalam masakan.
Hidangan pajeri juga boleh diolah dengan menggunakan bahan lain seperti udang atau ikan, namun masih mengekalkan cara masakan serupa seperti hidangan pajeri nanas dan enak dimakan bersama nasi putih atau nasi beriani.
Berikut adalah bahan dan cara untuk memasak hidangan pajeri nanas tanpa menggunakan santan dan rempah kari oleh Kuali.
Bahan-bahan
- Sebiji nanas separuh masak bersaiz besar
- 1 liter air
- 5 sudu besar minyak masak
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- 1 sudu besar cuka
- 1 batang kulit kayu manis
- 4 kuntum bunga cengkih
- 2 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 1 sudu kecil gula
- Garam secukup rasa
Bahan-bahan dikisar
- 7 tangkai cili merah yang dibuang biji
- 5 ulas bawang kecil
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
Langkah penyediaan
- Kupas kulit nanas dan bersihkan. Potong secara membulat.
- Rebus nanas yang telah dipotong bulat bersama serbuk kunyit dan cuka selama lebih kurang 10 minit. Toskan nanas yang telah direbus dan ketepikan. Air rebusan nanas jangan dibuang.
- Panaskan minyak di dalam kuali atau periuk. Tumiskan bahan-bahan yang dikisar sehingga kekuningan dan naik bau.
- Masukkan kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga. Tumis sehingga naik bau.
- Masukkan air rebusan nanas dan biarkan sehingga mendidih. Masukkan nanas yang telah direbus.
- Tambahkan satu sudu kecil serbuk kunyit dan perasakan dengan satu sudu kecil cuka, garam secukup rasa dan sedikit gula untuk rasa manis. Biarkan mendidih seketika.
- Sedia untuk dihidangkan.