Nampak peniaga bazar Ramadan tak puasa, beli atau boikot? UAI beri penjelasan
BERPUASA di bulan Ramadan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang cukup syarat.
Walaupun terdapat kelonggaran kepada golongan uzur, realitinya masih ada individu yang sihat memilih untuk tidak berpuasa dengan alasan penat bekerja.
Perkara inilah yang menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan masyarakat.

Seorang pengguna Threads meluahkan rasa sedih apabila mendakwa sebahagian peniaga di bazar Ramadan tanpa segan silu minum air secara terbuka ketika berniaga.
“Zaman sekarang ramai lagi ke orang berpuasa? Kita niaga kat bazar, 70 peratus orang minum air siap letak atas meja. Sedih tengok orang Islam kita macam itu,” tulisnya.
Situasi ini menimbulkan persoalan adakah dibenarkan dari sudut hukum untuk membeli juadah daripada peniaga yang jelas tidak berpuasa, atau perbuatan itu dikhuatiri termasuk dalam bersubahat dengan perkara yang dilarang?
Menurut penjelasan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), lebih afdal untuk pembeli beragama Islam memilih peniaga yang berpuasa sebagai tanda menghormati dan menyokong ketaatannya kepada perintah Allah.
MENARIK DIBACA: Ramai elak makan sebab takut gout, tapi ketam banyak manfaat termasuk kuatkan ingatan
MENARIK DIBACA: Ramai geli nak makan ikan bandaraya, selepas cuba rasanya macam isi ayam... Buat kuah laksa pun sedap
“Afdal beli kepada penjual yang bertakwa kepada Allah.
“Kalau ada dua gerai yang menjual makanan yang sama, sebaiknya pilih yang berpuasa kerana ia lebih berkat,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, dari sudut fikah hukumnya harus membeli makanan daripada peniaga bukan Islam selagi makanan tersebut halal dan bersih.
Jika tiada pilihan lain, membeli daripada peniaga Islam yang tidak berpuasa juga tidak menjadikan urus niaga itu haram, namun ia bukan pilihan terbaik.
“Sebaiknya kita raikan orang yang takut kepada Allah, kerana ada kebaikan yang menanti di akhirat,” tambahnya.
Dalam masa sama, UAI turut menasihati para peniaga yang berpuasa agar menjaga adab dan pemakaian ketika berniaga kerana perkara tersebut juga menjejaskan pahala puasa.
“Ramai saya lihat peniaga berpuasa jual juadah berbuka, tetapi pakaian pula macam tak puasa,” katanya sebagai peringatan.
Sekadar peringatan, poteng puasa tanpa alasan syarie adalah haram dan perbuatan itu hukumnya berdosa besar di sisi agama.
