Patutlah makanan rasa hambar, deria rasa jadi tumpul dalam pesawat dan ini puncanya
MENJELANG hujung tahun, ramai daripada kita mengambil peluang untuk bercuti ke luar negara bersama keluarga tersayang.
Selain membeli tiket kapal terbang, pra-tempahan makanan di dalam penerbangan juga pasti dibuat bagi mengelak kelaparan.
Tapi tahukah anda, makan pada ketinggian puluhan ribu kaki sebenarnya jauh lebih kompleks?
Pada ketinggian 35,000 kaki, keadaan kabin kering dan tekanan udara rendah boleh membuatkan deria rasa dan bau tumpul menjadikan makanan terasa hambar.

Jadi, bagi mengimbangi kekurangan deria, makanan dihidangkan dalam penerbangan diberikan tambahan garam, lemak dan gula.
Menurut tinjauan organisasi pemakanan Centre for Food as Medicine and Longevity, hidangan boleh kehilangan dimensi sejurus berada di ruang udara.
Keadaan ini memerlukan tukang masak penerbangan untuk bergantung sepenuhnya terhadap penggunaan bahan perasa tambahan yang tinggi dengan pengawet dan garam.
Keperluan industri penerbangan menyediakan makanan berskala besar sekali gus memastikan makanan tahan lama juga meningkatkan penggunaan teknik pemprosesan makanan menjejaskan nilai nutrisi.
Lebih membimbangkan, beberapa analisis nutrisi turut mendedahkan makanan dalam pesawat cenderung menghasilkan kandungan kalori dan lemak tepu lebih tinggi.

Tinggi kalori dan lemak tepu
Seperti kajan diterbitkan Annals of Internal Medicine menunjukkan, hidangan makan tengah hari dalam pesawat boleh mencecah sehingga 950 kalori ditambah pula dengan kandungan lemak hingga 52 gram termasuk lemak tepu.
Kiraan ini menjadikan makanan dihidangkan dalam pesawat kurang sihat berbanding makanan sama di sediakan di mana-mana restoran.
Kelembapan rendah menyebabkan penumpang kehilangan sensitiviti terhadap rasa masin dan manis manakala tekanan kabin rendah mengurangkan deria bau sehingga 30 peratus.
Maka, makanan dihidangkan dalam pesawat sering ditambah dengan kandungan sos berperisa atau garam berlebihan bagi mengekalkan rasa.
MENARIK DIBACA: Kajian dapati lipas hasilkan susu 3 kali lebih berkhasiat berbanding susu lembu
MENARIK DIBACA: Ada beza cendol Malaysia dan Thailand, campuran air kelapa muda beri kelainan
Selain hidangan utama, snek menjadi pilihan penumpang dalam penerbangan pendek turut menjadi penyumbang besar kepada pengambilan garam dan kalori berlebihan.
Kebanyakan kotak snek disediakan mengandungi gabungan biskut, keju, dan mufin didatangkan dalam pelbagai perisa namun tinggi natrium mencatatkan hampir 1,560 miligram natrium dalam satu hidangan.
Jumlah ini hampir mencapai had pengambilan natrium harian bagi sesetengah individu.
Lebih membimbangkan, penumpang cenderung makan secara berlebihan kerana tidak sedar dan bosan sepanjang dalam pesawat.

Buat pilihan bijak
Namun, menikmati makanan dalam pesawat tidak semestinya menjadi pengalaman membebankan.
Penumpang boleh membuat pilihan bijak dengan menikmati hidangan ringkas seperti ayam atau ikan panggang, salad tanpa sos dan sayur kukus.
Semua menu ini juga sesuai dijamu dengan pilihan karbohidrat neutral seperti nasi putih atau kentang rebus.
Mengurangkan pengambilan roti, pasta bersos krim, pencuci mulut, daging salai dan snek secara tidak langsung membantu tubuh menyesuaikan diri dengan keadaan perjalanan pesawat mencabar.
Disarankan, minum air kosong secara berkala untuk mengekalkan hidrasi dan mengurangkan kesan sampingan makanan berproses tinggi.
Dengan sedikit perancangan, perjalanan di ruangan udara menjadi lebih selesa bahkan baik untuk tubuh.