Nama Malaysia mekar di persada antarabangsa, Jason Loo dapat tempat keempat Kejohanan Barista Dunia 2025
BARISTA asal Malaysia Jason Loo, sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya meraih tempat keempat terbaik dunia dalam Kejohanan Barista Dunia 2025 yang berlangsung di Milan, Itali.
Ini pencapaian terbaik Malaysia setakat ini dalam kejohanan berprestij tersebut dan menjadi titik tolak penting dalam meletakkan industri kopi negara di peta dunia.
Jason bukanlah nama baharu dalam dunia kopi Malaysia sebaliknya pernah menjuarai Malaysia Barista Championship sebanyak empat kali pada 2013, 2015, 2017 dan 2024- satu pencapaian luar biasa membuktikan konsistensi dan dedikasinya dalam bidang ini.

Sebagai pengasas bersama kafe popular Yellow Brick Road dan Contour, Jason merupakan antara figura penting yang memacu kemajuan budaya kopi khas (specialty coffee) di negara ini.
Kisah Introvert + Extrovert dalam cawan
Dalam kejohanan tahun ini, Jason membawakan persembahan bertemakan "Introvert + Extrovert", satu konsep unik mengangkat perbezaan keperibadian manusia sebagai inspirasi dalam dunia kopi.
Beliau menggabungkan dua jenis kopi dari dunia yang berbeza, Panama Geisha (Classic Natural) mewakili introvert, dengan rasa yang lembut, halus dan mendalam.
Bagi extrovert pula, kopi Liberica Malaysia (Anaerobic Natural) ditampilkan sebagai profil rasa berani, kompleks dan menonjol.
MENARIK DIBACA: Campuran kunyit dan susu rahsia tanggalkan bulu tanpa cukur, pakej putihkan ketiak hitam
MENARIK DIBACA: Aliff Syukri tunjuk cara buat kerabu sare Kelantan… Rasa pedas, masam dan berlemak buat ramai terpikat
Gabungan ini mencipta keseimbangan rasa harmoni dan memukau, sekaligus menarik perhatian para juri memuji teknik penyampaian Jason sebagai berani, bertenaga dan penuh emosi antara persembahan paling menonjol sepanjang kejohanan.
Lebih sedekat ukir nama
Perjalanan Jason dalam dunia kopi bermula sejak lebih satu dekad lalu.
Kemenangan pertamanya pada tahun 2013 dicapai di bawah bimbingan mendiang Joey Mah, tokoh penting dianggap pelopor kopi khas di Malaysia.

Joey, meninggal dunia sekitar 2022 dikenang sebagai mentor membentuk ramai barista hebat di Malaysia, termasuk Jason sendiri.
Walaupun Malaysia menghantar wakil ke WBC sejak beberapa tahun lalu, kejayaan menembusi peringkat akhir kekal sebagai impian — sehinggalah tahun ini.
Pencapaian Jason bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi juga mencerminkan kemajuan pesat budaya kopi Malaysia.
Daripada warisan kopitiam tradisional, Malaysia kini menyaksikan ledakan kafe artisan, gelombang barista profesional serta peningkatan minat terhadap seni penyediaan kopi dalam kalangan rakyat.