Suka beli barang dalam keadaan ‘bawah’ sedar, ini 5 tip elak mak-mak lari bajet setiap bulan
KALAU memikirkan perbelanjaan barangan dapur, golongan mak-mak paling runsing kerana bertanggungjawab memastikan segala keperluan keluarga tercukupi tanpa melebihi bajet ditetapkan.
Mereka akan teliti setiap sen yang dibelanjakan supaya wang itu cukup untuk membeli bahan makanan berkualiti menampung kegunaan harian keluarga.
Kebimbangan itu wajar kerana perbelanjaan dapur sering menjadi pengeluaran utama dalam rumah tangga terutamanya apabila harga barang keperluan semakin mahal dan ekonomi tidak menentu.
Keadaan ini menyebabkan mak-mak perlu lebih berhati-hati dan bijak dalam menguruskan perbelanjaan supaya dapat menampung keperluan keluarga tanpa membebankan kewangan.
Jangan risau sebenarnya ada beberapa tip hemat yang boleh digunakan untuk berjimat ketika membeli barang dapur.

1. Senarai barangan dapur
Sebelum ke pasar raya atau kedai runcit, buat senarai barang dapur yang benar-benar perlu dibeli.
Periksa stok sedia ada di rumah supaya anda tidak membeli barang yang sudah cukup atau belum habis digunakan.
MENARIK DIBACA: Campuran kunyit dan susu rahsia tanggalkan bulu tanpa cukur, pakej putihkan ketiak hitam
MENARIK DIBACA: Aliff Syukri tunjuk cara buat kerabu sare Kelantan… Rasa pedas, masam dan berlemak buat ramai terpikat
Contohnya, jika anda masih ada beras atau minyak masak, jangan terburu-buru beli lagi.
Senarai yang jelas membantu mengelakkan pembelian barangan tidak diperlukan dan mengurangkan pembaziran makanan.

2. Tetapkan bajet perbelanjaan
Bajet adalah panduan penting supaya anda tidak terlebih belanja.
Tetapkan jumlah wang yang anda sanggup belanjakan untuk barangan dapur dalam satu tempoh tertentu seperti seminggu atau sebulan.
Apabila anda sudah ada bajet, cuba patuhi jumlah tersebut walaupun ada tawaran menarik.
Jika berlaku lebihan, simpan lebihan wang untuk perbelanjaan dapur pada masa akan datang atau keperluan lain.

3. Bandingkan harga dan pilih barangan tempatan
Setiap pasar raya dan kedai runcit mungkin mempunyai harga berbeza untuk barangan dapur yang sama.
Ambil masa untuk bandingkan harga antara beberapa tempat atau semak secara online.
Selain itu, cuba pilih barangan tempatan atau produk segar dari pasar tani yang biasanya lebih murah dan berkualiti.
Contohnya, sayur-sayuran tempatan atau hasil tani segar sering lebih murah daripada produk import.

4. Manfaatkan promosi, diskaun dan beli secara borong
Promosi dan diskaun adalah peluang terbaik untuk berjimat.
Anda boleh pantau promosi jualan di pasar raya seperti diskaun pada produk basah (daging, ayam, ikan) atau barangan kering (beras, tepung).
Selain itu, jika ada ruang simpanan yang mencukupi, anda boleh beli barangan kering atau makanan dalam tin secara borong kerana biasanya harga akan lebih murah untuk pembelian kuantiti banyak.
Contohnya, beli beras, gula atau minyak masak dalam jumlah besar semasa ada promosi.

5. Elakkan pembelian secara impulsif
Kadangkala anda pasti tergoda untuk membeli barang tambahan yang tidak dirancang apabila melihat tawaran menarik atau barang baru di kedai.
Elakkan berbelanja ketika anda lapar, letih atau dalam keadaan emosi kerana ini boleh menyebabkan pembelian impulsif dan pembaziran.
Sentiasa berpegang pada senarai barang dan bajet yang telah disediakan supaya wang anda hanya digunakan untuk barangan benar-benar diperlukan.