“Kalau 10 orang macam ni, bankrap mamu!” – Influencer minta makan free, siap bawa famili ‘pekena’ nasi kandar Penang
TAK dinafikan, kuasa viral membuatkan ramai peniaga kini memilih untuk menggunakan khidmat individu popular atau influencer bagi mempromosikan perniagaan mereka.
Namun, baru-baru ini tular kisah seorang individu didakwa mengambil kesempatan untuk makan percuma dengan alasan dia merupakan seorang pempengaruh.
Menurut pemilik sebuah restoran nasi kandar di Pulau Pinang, individu berkenaan datang ke kedainya bersama keluarga dengan tujuan kononnya mahu membuat video promosi.

“Sebelum makan, beliau datang kepada saya dan kata ‘saya influencer’. Saya pun kata okey.
“Dia tunjuk akaun TikTok yang ada lebih kurang 40,000 pengikut. Lepas itu dia kata tak perlu bayar sebab nak ambil video,” tulisnya di laman Facebook.
Bagaimanapun, pemilik restoran tersebut tetap bertegas meminta individu berkenaan membayar harga makanan yang dipesan, memandangkan kehadirannya bukan atas jemputan.
MENARIK DIBACA: Aiskrim ‘paracetamol’ undang perdebatan, ramai anggap idea gila
MENARIK DIBACA: Rakyat Malaysia lebih suka makan di luar, perbelanjaan ke restoran meningkat pada 2024
Jelasnya, menjadi influencer bukan tiket untuk makan percuma malah sikap tebal muka sedemikian boleh mendatangkan kerugian kepada perniagaannya.
“Yang ini pun dah RM53. Lepas makan, masa nak bayar dia masih kata lagi ‘saya influencer’, tetap juga nak saya bagi percuma!
“Jadi influencer bukan bermaksud tak perlu bayar. Kalau 10 orang buat macam ni, habislah mamu bankrap terus,” katanya berseloroh.

Perkongsian tersebut meraih lebih 13,000 tanda suka dan dihujani pelbagai komen daripada netizen.
“Aik, baru 40,000 pengikut dah mengaku influencer? Dasar muka tak tahu malu!
“Ni sebab ramai nak jadi influencer, sebab nak makan percuma agaknya.
“Followers mamu lagi ramai dari dia, ada 198,000 kot. Tak payah buat review pun orang beratur masuk," komen netizen.