[V] Makan puas-puas dengan set prime platter The Soru Station, 13 menu dalam satu talam gergasi
BERTEPATAN dengan slogannya 'Eat Big, Eat Cheap', The Soru Station menjadi lokasi tepat buat penggemar hidangan barat dengan kuantiti hidangan yang besar namun harganya masih berpatutan.
Bermula dengan sebuah gerai kecil yang dibuka di tepi jalan, hari ini The Soru Station mampu berbangga apabila telah membuka 10 cawangan dan salah satunya terletak di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.
Jika anda datang dengan keluarga besar antara enam hingga tujuh orang, set Prime Platter menjadi pilihan tepat untuk dipesan dan dinikmati bersama keluarga atau rakan-rakan.

Dengan harga cuma RM79.90, set Prime Platter menyediakan 13 jenis menu berbeza yang dihidangkan di dalam talam bersaiz gergasi!
Antara menu yang dihidangkan di dalam set Prime Platter adalah seperti dua jenis ayam bakar iaitu Chicken Grill dan Chicken Parmigiana bersalut keju yang lazat dan berkrim.
Ayam bakar yang disajikan cukup lembut dan berjus dengan aroma rempah menggiurkan.

Bukan itu sahaja, anda juga turut dihidangkan dengan kambing bakar (Danok Lamb Grill) yang empuk, empat cucuk sate ayam(Satay Skewer) bersama potongan timun, Sweetsour Chicken dan Buttermilk Chicken yang tentunya menjadi rebutan ramai.
Set Prime Platter turut menyediakan dua jenis pasta istimewa masing-masing Spaghetti Bolognese Beef dan Spaghetti Aglio Olio.
Usah risau kerana set Prime Platter turut menyajikan nasi bukan satu, tetapi dua jenis iaitu Nasi Daging yang penuh dengan aroma dan rasa rempah bersama Nasi Goreng untuk memenuhi selera orang Malaysia.
MENARIK DIBACA: [V] Boleh buat bekal bercuti ke luar negara, jom cuba resipi sambal tumis campur 4 dalam 1
MENARIK DIBACA: Terbeban kos sara hidup tinggi, mahasiswa ini terpaksa makan makanan kucing... Dakwa kaya kandungan protein bina otot
Lidah inginkan sesuatu yang pedas? Mungkin Korean Chicken Wing bakal membuatkan lidah anda terbakar.
Buat kanak-kanak pula, sajian Cheezy Wedges dan Onion Ring menanti mereka yang gemarkan makanan segera.
Sebagai pelengkap hidangan, set Prime Platter turut menyediakan lima jenis sos masing-masing sos lada hitam, barbeku, sos cendawan berkrim, sos percik dan sos keju dengan rasa tersendiri.

Selain lokasinya berada di Petaling Jaya, Selangor, The Soru Station juga boleh dikunjungi di Damansara, Shah Alam, Wangsa Maju, Sungai Besi, Bangi, Ampang, Puchong dan Setia Alam.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin, The Soru Station beroperasi dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam.