[V] Berat badan sudah tahap obesiti... Noraniza Idris ‘buang’ 2 perkara ini dalam diet, banyak minum air putih setiap hari
BIMBANG dengan masalah kesihatan akibat berat badan berlebihan, penyanyi terkenal Noraniza Idris nekad mengubah gaya hidupnya.
Demi menjaga kesihatan, penyanyi yang sinonim dengan lagu Dikir Puteri itu mula mengamalkan pemakanan seimbang sejak beberapa bulan lalu.
Noraniza atau Kak Ani berkata, dia mula tersedar selepas menyedari berat badannya sudah berada pada tahap obesiti.
Disebabkan itu dia perlu bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih serius.

"Saya dah sampai tahap obesiti yang agak ‘meriah’. Jadi sekarang saya mula kurangkan pengambilan karbohidrat dan gula dalam pemakanan harian," jelasnya.
Penyanyi berusia 57 tahun itu turut berkongsi, dia mengambil langkah ini sebagai usaha mencegah risiko masalah kesihatan seperti kolesterol dan urik asid.
"Saya tak mahu nanti berdepan masalah kesihatan yang lebih teruk sebab itu saya mula kawal pemakanan, terutama sekali karbohidrat dan gula," ujar Ratu Irama Malaysia itu.
MENARIK DIBACA: Pencinta rangka ayam, kena cuba resipi sup korok... Juadah ‘sempoi’ tapi power!
MENARIK DIBACA: Sate Malaysia laku keras di Nanjing... 1,500 cucuk habis terjual dalam masa sejam, baju Melayu peniaga turut jadi tumpuan pelanggan
Selain menjaga pemakanan, Kak Ani juga menitikberatkan pengambilan air putih setiap hari.
Katanya, dia memastikan sekurang-kurangnya dua liter air diminum setiap hari untuk kekal cergas dan sihat.
"Kalau kurang minum air, saya cepat rasa sakit tekak dan badan pun rasa tak sedap. Itu tanda badan saya perlukan lebih air," katanya yang juga penggemar hidangan soto.
Langkah Kak Ani ini sememangnya menjadi inspirasi kepada ramai, khususnya mereka yang ingin mengamalkan gaya hidup lebih sihat.