KUALI | Trending

Sate Malaysia laku keras di Nanjing... 1,500 cucuk habis terjual dalam masa sejam, baju Melayu peniaga turut jadi tumpuan pelanggan

Lead Image

SELAIN nasi lemak dan roti canai, sate juga menjadi salah satu makanan yang menjadi simbol identiti kulinari tempatan.

Tidak kira sate ayam atau daging, hidangan diperap dengan pelbagai jenis rempah sebelum dicucuk pada batang lidi itu memiliki aroma memikat ketika dibakar di atas kayu arang – penarik kepada sesiapa sahaja yang menghidunya.

Dimakan bersama kuah kacang, nasi himpit dan potongan timun serta bawang menjadi pelengkap kepada hidangan apabila bersatu dengan sempurna.

Sate Malaysia yang dijual di Nanjing, China mendapat perhatian dan rebutan oleh warga tempatan.

Tidak hairanlah, sate begitu digemari oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa sehinggakan makanan tersebut turut digilai bukan sahaja oleh masyarakat Malaysia, tetapi juga di luar negara dek kerana keenakan dan kelazatannya.

Buktinya, seorang lelaki Malaysia yang menetap di Nanjing, China viral selepas jualan sate yang diusahakannya di negara 'Tembok Besar' itu mendapat sambutan hangat penduduk tempatan.

Menerusi beberapa video yang dikongsikan dalam akaun TikTok pribadinya, @sinwantz_, kelihatan lelaki digelar Abang Satay Nanjing itu tidak menang tangan melayan pelanggan sewaktu mengikuti sebuah acara expo di sana.

MENARIK DIBACA: Minum petang penuh budaya, 5 set hidangan pamer keunikan warisan kulinari tempatan

MENARIK DIBACA: [V] 10 tahun menetap di Malaysia, Tya Ariffin masih tak reti makan nasi kandar kuah banjir

Malah turut kelihatan beberapa pelanggan tersenyum lebar dapat membeli juadah tersebut dan ada juga yang 'repeat order' kerana jatuh hati dengan keenakan sate.

Dalam salah satu video yang dikongsikan, lelaki itu memberitahu sate dijualnya laris sehingga habis terjual sebanyak 1,500 cucuk hanya dalam masa satu jam!

Walaupun harga sate yang dijualnya agak mahal iaitu RM10 untuk tiga cucuk namun gerainya tetap menjadi perhatian dan dikerumuni pelanggan. Mahal namun laku keras!

Sebanyak 1,500 cucuk sate yang dijual pada harga RM10 untuk tiga cucuk habis terjual dalam masa sejam.

Kelihatan ramai pelanggan terdiri daripada warga tempatan berkerumun di gerainya yang tertulis Mix Legacy, Mix Satay untuk membeli sate yang dijual.

Walaupun tidak banyak diketahui tentang identiti lelaki tersebut, namun kelancarannya berbahasa Melayu serta fasih berbahasa Mandarin turut menjadi perhatian pengikutnya di TikTok.

Lebih membanggakan, selain mempromosikan menu tempatan di luar negara, lelaki tersebut juga tidak segan memperkenalkan budaya Malaysia melalui pakaian apabila dengan bangganya menyarung busana baju Melayu lengkap bersongkok ketika berjualan.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

KULinary Award iktiraf 11 pengusaha makanan di KLIA, Jibby Chow menang Restoran Tempatan Terbaik

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Nasi goreng pun ada ‘red flag’... Jangan guna nasi lembik, tambah sayur kubis pun boleh  ‘potong’ selera

Terhangat