Cara buat roti coklat guna bahan ringkas, tak perlu mesin tetap enak
SIAPA sangka rupanya mudah sahaja untuk membuat roti coklat sendiri di rumah!
Resipi ini tidak memerlukan tepung roti khas dan mesin penguli yang besar untuk menyediakan doh.
Hanya memerlukan tepung gandum dan beberapa bahan, anda sudah boleh menghasilkan roti berinti coklat dan pisang berangan yang lembut serta menyelerakan.
Lebih mudah, adunan ini boleh digaul menggunakan sudu sebelum diuli sebentar hingga sebati.

Jadi bagi yang baru berjinak-jinak membuat roti, resipi ini memang sesuai untuk dicuba.
Roti ini juga sesuai dinikmati ketika masih panas, sama ada untuk sarapan pagi mahupun minum petang bersama keluarga.
Kalau teringin nak menikmati roti coklat buatan sendiri, jom cuba resipi yang dikongsikan oleh kakakbukanchef di Threads:
Bahan-bahan
- 3 cawan tepung gandum
- 1 cawan air
- 1 sudu makan yis
- 2 sudu makan susu pekat manis
- ⅓ cawan serbuk koko
- 1 sudu kecil garam
- 1 biji telur
- 1 sudu makan marjerin
- 1 sudu minyak masak
- Coklat coin secukupnya
- 1 biji pisang berangan dicincang halus
MENARIK DIBACA: Guna bahan perap ringkas, ini resipi ayam 'roasted' versi mudah dan pantas
MENARIK DIBACA: Kuih apam bakar ada rasa pisang dan rempah, sajian tradisional unik dari Kelantan
Cara penyediaan
- Masukkan air, yis dan susu pekat manis ke dalam bekas. Kacau sehingga semua bahan sebati.
- Dalam bekas berasingan, masukkan tepung gandum, telur, serbuk koko dan marjerin. Gaulkan bahan-bahan tersebut sehingga sebati.
- Tuangkan campuran air, yis dan susu pekat manis ke dalam bekas berisi tepung tadi. Gaul menggunakan sudu sehingga semua bahan bercampur rata.
- Tambahkan minyak masak ke dalam adunan. Uli doh secara perlahan sehingga semua bahan sebati dan doh boleh dibentuk.
- Bahagikan doh kepada lima bahagian yang sama besar supaya setiap roti mempunyai saiz yang hampir seragam.
- Canai setiap bahagian doh kemudian letakkan coklat coin dan pisang berangan yang telah dicincang halus di bahagian tengah. Tutup inti dan bentukkan doh menjadi bulat.
- Susun doh yang telah dibentuk ke dalam loyang yang sesuai untuk digunakan dalam air fryer. Pastikan terdapat sedikit ruang antara doh kerana roti akan mengembang.
- Rehatkan doh sehingga mengembang.
- Bakar roti pada suhu 150 darjah celsius selama kira-kira 35 minit.
- Setelah masak keluarkan roti dan biarkan seketika sebelum dinikmati.