KUALI | Pastri
Pertama kali buat agar-agar pandan 'confirm' menjadi, letak dalam peti ais baru sedap makan
AGAR-AGAR pandan atau juga dipanggil agar-agar lumut menjadi antara pencuci mulut tradisional popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutama orang Melayu.
Teksturnya yang lembut dengan rasa lemak manis menjadikannya hidangan penutup yang sesuai untuk disajaikan di majlis keramaian atau hari perayaan.
Selain rasanya yang enak, aroma daun pandan yang wangi pasti akan mengingatkan anda dengan suasana ketika berada di kampung halaman, sekali gus membangkitkan nostalgia zaman dahulu.
Paling penting cara dan bahan yang digunakan juga mudah, sesuai untuk anda yang baharu mahu berjinak-jinak membuat manisan sendiri di rumah.
Bahan-bahan
- 30 gram agar-agar tali
- 2 biji telur
- 1 kotak kecil santan
- 5 helai daun pandan
- 1 cawan gula
- 2 cawan air
- 1 sudu kecil pewarna hijau
Langkah penyediaan
- Kisar daun padan dengan dua cawan air kemudian tapis untuk dapatkan air pandan. Ketepikan.
- Masak agar-agar tali dengan dua cawan air sehingga larut. Ketepikan.
- Kisar telur bersama santan, kemudian masukkan air daun pandan dan gula. Kacau sehingga gula larut.
- Masukkan pewarna hijau dan santan yang dikisar bersama telur tadi kemudian masak di atas api perlahan.
- Biarkan sehingga menggelegak dan muncul 'kepala' santan, kacau dan tutup api.
- Tuangkan ke dalam loyang yang dibasahkan dengan sedikit air, biarkan sedikit mengeras barulah dimasukkan ke dalam peti sejuk.
- Selepas beberapa jam, keluarkan agar-agar yang telah mengeras, potong dan sedia untuk dihidangkan.