Tak perlu terbang ke Dubai, senang betul resipi Chewy Chocolate Cookies
POPULARITI chewy chocolate cookies mencetuskan fenomena dalam kalangan penggemarnya sehingga banyak kafe-kafe mula menjualnya dengan harga yang tinggi.
Biskut bergaya mewah dari Timur Tengah ini menjadi kegemaran ramai kerana kelainan teksturnya yang lembut di dalam tetapi rangup dan kenyal di luar disamping rasa limpahan coklat premium menggoda selera.
Setiap gigitan memberikan sensasi luar biasa kerana coklat cair pekat dipadankan dengan doh biskut kenyal tidak terlalu manis.

Ada juga pilihan lain seperti tambahan coklat gelap, coklat susu dan taburan kacang bagi menaikkan lagi rasa dan tekstur biskut eksklusif ini membuatkan diri terasa seakan berada di kafe premium Dubai.
Sebenarnya boleh buat sendiri cookies ini apatah lagi ia hanya menggunakan bahan ringkas yang mudah diperoleh di kedai bakeri.
Tak percaya, cuba ikuti resipi ini anda pasti terkejut dengan hasil ciptaan biskut mewah ini!
Bahan-bahan
- 125g mentega tanpa garam (suhu bilik)
- 100g gula perang
- 50g gula kastor
- 1 biji telur
- 1 sudu kecil esen vanila
- 180g tepung gandum
- 1/2 sudu kecil serbuk penaik
- 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
- 1/2 sudu kecil garam
- 150g coklat cip atau coklat bar dicincang kasar
- 50g coklat premium
MENARIK DIBACA: Nasi semalam jangan dibuang, boleh dibuat kek cawan bersama coklat
MENARIK DIBACA: Ini cara buat kek gula hangus paling mudah, hasilnya pasti gebu dan cantik 'bersarang'
Cara penyediaan
- Panaskan ketuhar pada suhu 170 darjah selsius dan alas dulang pembakar dengan kertas minyak.
- Pukul mentega, gula perang dan gula kastor sehingga adunan menjadi lembut dan berkrim.
- Masukkan telur dan esen vanila, kacau hingga sebati.
- Ayak tepung gandum, serbuk penaik, soda bikarbonat dan garam ke dalam adunan. Gaul perlahan sehingga menjadi doh lembut.
- Masukkan coklat cip dan coklat cincang, gaul rata supaya coklat sekata dalam doh.
- Sudukan doh dan susun di atas dulang dengan jarak antara satu sama lain.
- Bakar selama 12 minit atau sehingga bahagian tepi sedikit perang tetapi bahagian tengah masih lembut untuk tekstur kenyal.
- Keluarkan dari ketuhar dan biarkan biskut sejuk selama beberapa minit sebelum dihidangkan.
Tip tambahan, elak terlebih bakar kerana biskut akan mengeras apabila sejuk. Untuk rasa lebih mewah, gunakan coklat berkualiti dan boleh tabur sedikit garam laut di atas biskut sebelum dibakar.