KUALI | Pastri
Resipi mufin pisang senang sangat, boleh ajak anak-anak bantu di dapur
SELAIN televisyen dan telefon, apa kata jadikan dapur sebagai tempat berseronok dengan anak-anak ketika musim cuti sekolah ini.
Alang-alang, jom cuba resipi mufin pisang lembut yang mudah tetapi mampu mengukir senyuman di wajah mereka.
Pisang bukan sahaja manis secara semula jadi, malah kaya dengan vitamin, mineral dan serat yang bagus untuk tumbesaran anak.
Malah, aroma pisang yang semerbak ditambah pula dengan kemanisan gula kastor pasti membuatkan mereka tak berhenti makan.
Jom Kuali kongsi resipinya:

Bahan-bahan
Bahan kering:
- 2 cawan tepung naik sendiri
- ½ sudu kecil soda bikarbonat
- Secubit garam
Bahan basah:
- 1 cawan pisang yang telah dilenyek (apa-apa jenis pisang)
- 2 biji telur
- 150 gm mentega atau marjerin (dicairkan)
- ¾ cawan gula kastor
Hiasan:
- ½ cawan chocolate chip
MENARIK DIBACA: Hanya guna 4 bahan, resipi popiah ubi keledek coklat mesti disukai anak-anak
MENARIK DIBACA: Che Nom ajar 2 cara buat puding karamel, rasanya tetap sedap!
Cara Penyediaan
- Panaskan oven pada suhu 180°C selama 15 minit. Sediakan muffin paper atau loyang muffin dan ketepikan.
- Dalam mangkuk besar, ayak bahan kering iaitu tepung naik sendiri, garam dan soda bikarbonat. Gaul sebati dan ketepikan.
- Dalam mangkuk lain, gaulkan pisang lenyek bersama gula kastor hingga sebati.
- Masukkan telur dan mentega/marjerin cair, kacau sehingga adunan sebati.
- Masukkan campuran tepung ke dalam adunan basah. Gaul perlahan sekadar sebati, jangan terlebih kacau.
- Sudukan adunan ke dalam acuan muffin sehingga ¾ penuh.
- Taburkan chocolate chip di atas permukaan sebagai hiasan.
- Bakar selama 18–25 minit pada suhu 180°C, bergantung pada oven masing-masing.
- Buat ujian cucuk — jika lidi keluar bersih dan tidak melekat, muffin telah masak. Jika masih melekat, bakar lagi 5–10 minit.
- Angkat, biarkan sejuk dan siap untuk dinikmati.