[V] Macam cucur tapi ada beza bahan-bahan buat bakwan jagung
CUCUR atau di sesetengah tempat juga dipanggil cekodok sering dijadikan hidangan ketika sarapan pagi atau minum petang.
Terdapat beberapa jenis cucur seperti cucur bawang, cucur bilis, cucur udang, cucur sayur dan cucur pisang.
Di Indonesia juga terdapat hidangan serupa yang dipanggil gorengan atau bakwan. Mungkin bentuknya sedikit berbeza kerana digoreng nipis-nipis dan lebih banyak menggunakan sayur-sayuran.
MENARIK DIBACA: Enam jenis rempah ‘mat salleh’ ini cukup serasi dengan masakan tempatan
MENARIK DIBACA: Sedap macam dekat kedai mamak, jom cuba resipi ayam masak bawang
Cara buat cucur juga tidaklah terlalu rumit dan renyah, namun bergantung pada kreativi anda untuk jadikan cucur lebih enak dan menarik.
Seperti resipi cucur jagung rangup yang Kuali kongsikan, hanya tambah beberapa bahan, anda boleh dapat hidangan sarapan pagi atau minum petang yang enak.
Bahan-bahan
- 5 sudu besar tepung gandum
- 1 sudu besar tepung beras
- 1 tongkol jagung (ambil isinya)
- 1 biji bawang besar
- 1/2 batang lobak merah (dihiris halus)
- 1 tangkai cili merah (dihiris)
- Kobis (dihiris halus)
- Udang kering
- 1 biji telur
- Garam
- Air secukupnya
Langkah penyediaan
- Masukkan tepung gandum dan tepung beras dalam bekas sesuai bersama secubit garam.
- Campurkan semua bahan kemudian pecahkan sebiji telur.
- Masukkan air secukupnya dan gaul adunan sehingga sebati. Kalau adunan terlalu pekat, tambahkan sedikit air. Pastikan adunan tidak terlalu cair.
- Panaskan minyak dan masukkan adunan ke dalam kuali panas menggunakan sudu atau tangan.
- Goreng sehingga cokelat keemasan kemudian angkat dan toskan.
- Sedia untuk dihidangkan bersama sos cili atau sambal tumis. Selamat mencuba!