Cili yitu 'pedas manja' bantu latih deria rasa bayi... Buat pes lebih mudah, jimat masa di dapur
MENDEDAHKAN si kecil kepada rasa cili secara terkawal sebenarnya ada beberapa potensi kebaikan, asalkan dilakukan dengan betul mengikut umur dan tahap kesediaan anak.
Pendedahan kepada rasa cili didapati dapat melatih deria rasa dan meningkatkan toleransi tahap kepedasan.
Pemilihan cili yitu sebagai contoh, dapat membantu merangsang selera makan dalam kalangan kanak-kanak.
Rasa pedas yang 'ringan' membuatkan hidangan lebih menarik sekali gus membantu anak makan dengan lebih bersemangat.

Cili yitu juga mengandungi capsaicin, antioksidan dan vitamin C. Walaupun dalam kuantiti kecil, ia membantu meningkatkan sistem imun serta metabolisma anak yang sedang membesar.
Pengambilan hidangan pedas juga membantu membina keberanian mencuba makanan baharu dalam kalangan anak-anak, membolehkan mereka lebih terbuka malah berani mencuba perkara baharu sejak awal usia.
Namun, penting untuk ibu bapa memastikan bahan digunakan selamat dan sesuai dengan peringkat umur bayi.
Di Threads, seorang ibu dikenali sebagai Miraa Awang berkongsi cara mudah menyediakan pes cili khas untuk bayi berusia 10 bulan ke atas.
Menurutnya, penggunaan cili yitu adalah paling sesuai kerana rasanya tidak pedas, sekali gus selamat diperkenalkan kepada si kecil tanpa risiko atau berbahaya.

Berikut adalah cara penyediaan pes yang praktikal dan berbaloi untuk dicuba!
1. Cili yitu dibersihkan dan direbus terlebih dahulu sehingga lembut kemudian dikisar bersama bawang besar dan bawang putih.
2. Tambah sedikit air serta minyak lalu dikisar sehingga halus bagi mendapatkan tekstur yang sesuai untuk bayi.
3. Simpan pes cili dalam bekas ais batu supaya tahan lama. Kaedah ini memudahkan ibu-ibu, malah menjimatkan masa setiap kali ingin memasak makanan bayi.
INFO CILI YITU
Cili yitu atau disebut juga cili yidu adalah jenis cili kering berbentuk besar, gemuk, pendek dan berwarna merah menyala yang terkenal tidak pedas atau memiliki tahap pedas yang sangat rendah.
Ia sangat popular di Malaysia sebagai bahan asas sambal atau masakan untuk kanak-kanak, bayi (10-12 bulan ke atas) dan individu tak tahan pedas.