Cuka epal ubat mujarab atasi kelemumur, rahsia rambut lebat berkilat
CUKA epal antara bahan digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat terutama membantu penjagaan kesihatan kulit kepala dan rambut.
Sejak awal abad ke-20, bahan itu mula digunakan pengamal perubatan kampung sebagai alternatif kepada limau nipis dan santan dalam rawatan kulit kepala.
Penggunaan cuka epal sebagai rawatan kelemumur dan gatal kulit berkembang dengan gabungan petua lain termasuk air rebusan daun mambu, air garam bukit dan minyak kelapa dara.
Terhasil dari proses penapaian jus epal segar, proses itu menghasilkan asid asetik – komponen utama bertanggungjawab terhadap khasiat anti-bakteria, anti-kulat dan anti-radang.
MENARIK DIBACA : Bukan untuk sembelit jer, betik dikisar bersama halia tua bantu legakan masalah kebas kaki
MENARIK DIBACA : Kulit nanas banyak manfaat untuk kecantikan, boleh dijadikan pelembap dan mampu kurangkan jerawat
Cuka epal asli juga mengandungi kultur hidup kaya dengan probiotik.
Bahan itu juga kaya dengan nutrisi seperti Vitamin C, B, dan E membantu menyuburkan folikel rambut sekali gus menggalakkan pertumbuhan rambut sihat.
Kandungan antioksidan semula jadi juga membantu melindungi kulit kepala dari tekanan oksidatif dan pencemaran bahkan Asid Alfa Hidroksi (AHA) bertindak sebagai eksfoliator lembut, membantu buang sel kulit mati di kulit kepala.

1. Menghapuskan kelemumur
Cuka epal bersifat anti-kulat semula jadi dan membantu membunuh kulat Malassezia - penyebab utama kelemumur.
Ia juga membantu mengurangkan pengelupasan kulit kepala.
Antioksidan semula jadi juga melindungi kulit kepala dari tekanan oksidatif dan pencemaran.

2. Imbang pH kulit kepala
Kulit kepala terlalu berasid atau terlalu beralkali mudah menyebabkan kelemumur dan kegatalan.
Cuka epal membantu menstabilkan nilai pH agar kulit lebih sihat dan rambut tidak berminyak berlebihan.
Kandungan asid asetik membantu menyeimbangkan pH kulit kepala dan membunuh bakteria serta kulat penyebab kelemumur.

3. Kurangkan tekanan folikel rambut
Folikel rambut tersumbat atau meradang boleh lemah dan gugur.
Dengan pembersihan kerap menggunakan cuka epal, peredaran darah pada kulit kepala bertambah baik.
Folikel rambut menjadi lebih sihat dan aktif, membolehkan rambut tumbuh lebih kuat dan lebat.
Kelebihan sebagai anti-radang menjadikan bahan itu berguna untuk individu mengalami masalah kulit kepala gatal terutama akibat pemakaian produk rambut berkimia.
Kandungan enzim dan bakteria baik turut menyokong kesihatan mikrobiom kulit kepala membantu mengurangkan iritasi.

4. Rambut lincin berkilau
Apabila digunakan sebagai bilasan akhir selepas syampu, cuka epal membantu mengangkat sisa kimia dan minyak berlebihan.
Tindakan itu menjadikan rambut lebih ringan, bersinar dan tidak lepek sekali gus membantu mengembalikan keyakinan diri.
5. Detoks kulit kepala, rambut lebih lebat
Cuka epal bertindak seperti pembersih semula jadi.
Menghapuskan toksin, minyak berlebihan, dan sisa produk rambut seperti gel, serum atau syampu tidak dibilas sempurna.
Tindakan itu mengurangkan penyumbatan pada folikel rambut boleh menyebabkan mudah gugur atau lambat tumbuh.