Baru guna sikit dah kena buang! Ini cara simpan baki santan, mampu tahan berbulan-bulan
SANTAN menjadi antara bahan masakan utama dalam menu harian masyarakat tempatan seperti gulai, rendang, kari dan aneka kuih.
Bagaimanapun masalah biasa yang sering dihadapi adalah lebihan santan cepat rosak jika disimpan lama dalam peti sejuk.
Pelbagai petua dan tip penyimpanan dikongsi di media sosial agar bahan penting ini tidak berakhir di dalam tong sampah, dengan terbaharu perkongsian Norida Abdul Rashid di Threads mencuri tumpuan.
Menurut wanita itu, cara mudah menggunakan plastik aiskrim boleh membuatkan lebihan santan tahan lebih lama tanpa menjejaskan kualitinya.

"Tip tidak membazir. Santan kadang-kadang beli kotak besar, guna tak banyak mana, kemudian simpan lama di bahagian chiller, cepat masam.
"Masukkan dalam plastik aiskrim dan bekukan. Nanti masak gulai, masukkan sebatang.
"Jangan masuk dengan plastik pula. Setakat ni berbulan simpan pun masih elok," kongsinya, ringkas.
MENARIK DIBACA: Titik terendah pelanggan! Lepas 'mengemis' duit ibu nak beli nasi, rider letak pesanan di tong sampah
MENARIK DIBACA: Cara mudah simpan cili, sayur agar kekal segar... Lebih sebulan masih masih elok
Petua dikongsikan itu ternyata mendapat sambutan positif daripada warga maya yang mengakui idea menggunakan plastik aiskrim sangat praktikal kerana saiznya sesuai untuk kegunaan sekali masak.
"Brilliant! Saya bekukan juga kalau ada lebih, tapi beli kotak kecil sahaja," tulis seorang netizen.

"Such an idea! Rumah saya ada banyak plastik ais krim. Akhirnya boleh pakai.
"Bijak! Tapi saya simpan ziplock je. Buat setiap beg 200ml untuk sekali masak," antara komen netizen.
Ada juga warganet yang mengaku selama ini tidak mengamalkan sebarang tip atau petua menyimpan santan justeru sangat berterima kasih dengan perkongsian ini.
"Thank you share idea ni. Selalu terpaksa buang lebihan dalam kotak santan sebab simpan dalam peti lama jadi tak elok. Sukanya idea ni," ujarnya.
Perkongsian ringkas itu membuktikan bahawa tip dapur yang mudah dan praktikal mampu membantu ramai individu mengurangkan pembaziran makanan selain menjimatkan perbelanjaan.