Betul ke pisang bantu legakan kejang otot? Ini fakta anda perlu tahu
KAKI tiba-tiba kejang ketika bermain futsal atau sedang tidur memang boleh membuatkan seseorang mengerang kesakitan.
Berdepan situasi begini, ramai percaya makan pisang boleh membantu melegakan kekejangan otot kerana buah ini kaya dengan kalium selain dianggap sebagai makanan semula jadi untuk membekalkan tenaga.
Jadi, benarkah makan pisang boleh membantu melegakan kekejangan otot?
Menurut laporan media, kajian menunjukkan apabila kalium daripada pisang mula diserap oleh tubuh, kekejangan otot yang dialami mungkin sudah reda.

Teori di sebalik kepercayaan ini memang kedengaran munasabah.
Pisang kaya dengan kalium, sejenis mineral yang diperlukan oleh otot dan saraf untuk berfungsi.
Atlet juga sejak sekian lama disarankan membawa pisang sebagai bekalan ketika bersukan.
Dalam kajian diterbitkan Jurnal Latihan Atlet, penyelidik akademik dalam bidang sains Universiti North Dakota State, Amerika Syarikat, Kevin C. Miller meminta sekumpulan kecil lelaki melakukan senaman selama sejam dalam keadaan cuaca panas.
Selepas itu, mereka diberikan pisang secara berperingkat sama ada tiada pisang, satu hidangan pisang atau dua hidangan pisang.
Sampel darah kemudian diuji untuk mengukur jumlah kalium yang berjaya diserap ke dalam darah.
Hasilnya, individu diberikan dua biji pisang hanya menunjukkan peningkatan kecil paras kalium dalam darah malah mengambil masa antara 30 hingga 60 minit untuk dikesan.
Kajian tersebut menyimpulkan bahawa pengambilan pisang berkemungkinan bukan kaedah berkesan untuk merawat kekejangan otot akibat aktiviti fizikal.
MENARIK DIBACA: Chef Fikree kongsi rahsia bihun goreng sedap... Gaul 'tepi' dulu, baru goreng atas api
MENARIK DIBACA:Minum kola, makan garam antara tip elak perut meragam dan cirit birit bercuti di 'overseas'
Kajian sama turut menjelaskan bahawa perubahan paras kalium berlaku terlalu perlahan untuk merawat kekejangan secara tiba-tiba, khususnya apabila masalah ini menyerang menjelang penghujung perlawanan atau perlumbaan.
Sebagai perbandingan, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS) menyatakan bahawa kekejangan otot kaki biasanya berlaku antara beberapa saat hingga 10 minit.
Ini bermakna, ketika seseorang masih sibuk mengupas pisang, kekejangan otot yang dialaminya mungkin sudah pun hilang.
Lebih menarik, saintis kini tidak lagi begitu yakin bahawa kekurangan kalium menjadi punca utama kebanyakan kes kekejangan otot.
Satu kajian pada 2004 terhadap pelari jarak jauh yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Sukan British mendapati pelari yang mengalami kekejangan tidak mempunyai paras elektrolit seperti kalium dan natrium yang lebih rendah dalam darah berbanding mereka yang tidak mengalaminya.
Mereka juga tidak menunjukkan tanda kehilangan air yang lebih ketara.
Satu ulasan kajian pada 2009 dalam jurnal yang sama oleh pakar perubatan sukan Univerisiti Cape Town, Afrika Selatan, Prof Martin Schwellnus, meneliti beberapa teori utama berkaitan masalah tersebut.
Dia mendapati semakin banyak bukti menunjukkan kekejangan otot ketika bersenam berpunca terutamanya daripada gangguan pada mekanisme saraf yang mengawal otot, bukannya akibat dehidrasi atau kehilangan elektrolit.
Bayangkan otot yang terlalu letih menerima isyarat saraf yang bercelaru sehingga gagal mengendur seperti biasa.
Ulasan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Materia Socio-Medica pada 2018 turut mencapai kesimpulan hampir sama dengan mengenal pasti keletihan otot sebagai punca utama kekejangan.
Menariknya, terdapat pula penemuan kajian yang agak luar biasa.
Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Medicine and Science in Sports and Exercise pada 2010, Miller bersama rakan penyelidiknya mendapati bahawa pengambilan sedikit jus jeruk membantu melegakan kekejangan otot dengan lebih cepat berbanding air kosong.
Kesan tersebut bukan disebabkan kandungan garam dalam jus jeruk kerana minuman ini tidak mengubah paras elektrolit dalam darah peserta dalam tempoh yang cukup singkat untuk menerangkan kelegaan tersebut.
Sebaliknya, penyelidik mencadangkan bahawa rasa masam dan kuat daripada jus jeruk mungkin mencetuskan tindak balas refleks membantu otot yang kejang kembali mengendur.
Menurut NHS, meregangkan dan mengurut otot yang terjejas boleh membantu mengurangkan kesakitan, walaupun kebanyakan kekejangan akan hilang dengan sendirinya.

Berdiri dan meletakkan berat badan pada kaki yang terjejas juga mungkin membantu melegakan kekejangan.
NHS turut menyarankan regangan otot betis secara berkala untuk membantu mengurangkan kekerapan kekejangan, walaupun kaedah ini tidak dapat menghalangnya sepenuhnya.
Ini tidak bermakna pisang perlu dielakkan sama sekali.
Buah tersebut masih merupakan snek yang berkhasiat, manakala pengambilan kalium yang mencukupi melalui pemakanan seimbang penting untuk fungsi normal tubuh.
Cuma, jangan terlalu bergantung pada pisang untuk melegakan kekejangan otot yang sedang berlaku.
Individu yang kerap mengalami kekejangan teruk, kekejangan yang berpanjangan atau kekejangan lebih dari 10 minit disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor.