info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
featured_seasonal_and_gifts 0
hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

KUALI | Manisan

Cara buat kek sarang semut teknik kukus, rehatkan adunan rahsia rongga cantik

Lead Image

KEK sarang semut atau lebih dikenali sebagai kek gula hangus antara pemanis mulut tradisional yang masih menjadi kegemaran ramai.

Mana tidaknya, teksturnya yang lembut, berongga seperti sarang semut serta mempunyai rasa karamel manis-pahit menjadikan kek ini sesuai dinikmati pada bila-bila masa, sama ada ketika minum petang atau sebagai hidangan untuk tetamu.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan tekstur kek berongga cantik, ada beberapa langkah penyediaan perlu diberi perhatian termasuk proses menyediakan gula hangus dan membiarkan adunan 'berehat' sebelum dikukus.

Seorang wanita di Facebook yang dikenali sebagai Wa Da turut berkongsi resipi kek sarang semut yang mudah dibuat.

Menariknya, resipi ini tidak memerlukan ketuhar kerana kek dimasak menggunakan kaedah kukusan.

Bagi yang ingin mencuba, berikut resipi lengkap kek sarang semut kukus.

Kek gula hangus kukus dengan tekstur sarang semut yang cantik.

Bahan-bahan

  • 2 cawan gula pasir
  • 2 cawan air panas
  • 1 cawan susu cair
  • 5 biji telur gred A atau B
  • 2 sudu besar marjerin atau mentega
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar soda bikarbonat
  • 1 sudu kecil esen vanila

Cara penyediaan

  1. Cairkan gula pasir menggunakan api perlahan sehingga bertukar perang gelap kemudian tuangkan air panas sedikit demi sedikit dengan berhati-hati, kacau hingga gula larut dan biarkan sejuk.
  2. Panaskan susu cair bersama marjerin atau mentega sehingga mendidih seketika. Tutup api dan biarkan sejuk.
  3. Pukul telur bersama esen vanila dan campuran susu serta marjerin sehingga sebati. Masukkan tepung gandum dan soda bikarbonat yang telah diayak, kemudian kacau rata.
  4. Tuangkan air gula hangus yang telah sejuk ke dalam adunan dan kacau sehingga sebati.
  5. Biarkan adunan 'berehat' selama satu jam bagi membantu menghasilkan tekstur kek yang berlubang-lubang seperti sarang semut.
  6. Panaskan pengukus dan sapukan sedikit marjerin atau minyak pada loyang. Kacau adunan sekali lagi, kemudian tapis dan tuangkan ke dalam loyang.
  7. Kukus selama satu jam menggunakan api sederhana. Elakkan membuka penutup pengukus terlalu awal bagi memastikan kek masak dengan sempurna.
  8. Setelah masak, keluarkan kek dan biarkan sejuk sebelum dipotong. Kek sarang semut kukus sedia dinikmati bersama keluarga.
bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube, Threads dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Manisan

Roti susu letak jem blueberry, keju mozarella memang nikmat! Sekali cuba, nak lagi

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Manisan

Tip buat scone gebu, lembut dan berlemak... Awas, satu famili bakal ketagih!

Terhangat