Garam epsom bantu bayi tidur selesa, kurang meragam... Ibu kongsi tip mandian
BILA sebut tentang garam, ramai akan terus membayangkan garam masakan yang digunakan setiap hari untuk menambah rasa pada makanan.
Sebenarnya garam mempunyai banyak jenis yang digunakan untuk tujuan berbeza.
Ada garam yang digunakan dalam masakan dan ada juga digunakan untuk industri, pertanian, penjagaan diri serta tujuan perubatan.
Pernah dengar mengenai epsom salt?
Epsom salt sejenis garam mineral yang semakin popular digunakan dalam rutin penjagaan diri termasuk rendaman badan dan kaki.
Walaupun namanya mengandungi perkataan garam, epsom salt sebenarnya bukan garam dapur biasa.
Epsom salt ialah magnesium sulfat dan berbeza daripada garam masakan yang dikenali sebagai natrium klorida.

Disebabkan namanya, mungkin ada yang keliru dan menyangka semua jenis garam boleh digunakan dengan cara sama sedangkan setiap produk mempunyai manfaat dan tujuan tersendiri.
Perkongsian seorang wanita di Threads menarik perhatian ramai selepas berkongsi rutin mandian anaknya menggunakan epsom salt, yang menurutnya membantu bayi lebih tenang dan mudah tidur.
"Titik tertinggi seorang mak bila bayi tidur lena kurang meragam.
"Terima kasih pada ibu-ibu yang pernah kongsi tip ni dengan saya," tulisnya.
Kongsinya, dia mula mengamalkan mandian epsom salt setiap petang sebelum waktu Maghrib selepas menerima tip daripada ibu lain.
MENARIK DIBACA: Peminat BTS bangga dapat merasa sisa air dari botol diminum salah seorang anggota
MENARIK DIBACA: Penjelasan punca kejadian isi ayam bertukar hijau... Nampak geli tapi boleh dimakan!
“Setiap petang saya akan mandikan bayi dengan epsom salt. Letak air suam dalam bathtub bayi kemudian satu scoop epsom salt.
“Rendam lebih kurang lima minit. Lepas itu saya tak bilas baby biarkan sahaja,” katanya.
Kepada para ibu yang ingin mencuba, dia menyarankan agar bermula dengan kuantiti sedikit kerana bimbang kulit bayi tidak serasi.
Bagaimanapun di sebalik perkongsian pengalaman itu, penggunaan epsom salt pada bayi perlu dibuat dengan penuh berhati-hati kerana kulit bayi masih sensitif dan mudah terdedah kepada iritasi.
Apa sebenarnya epsom salt?
Epsom salt ialah sebatian mineral yang mengandungi magnesium dan sulfur.
Garam ini biasanya digunakan dalam mandian untuk tujuan relaksasi dan penjagaan badan.
Walaupun terdapat dakwaan bahawa rendaman epsom salt boleh membantu pelbagai masalah kesihatan, bukti saintifik mengenai penyerapan magnesium dalam jumlah besar melalui kulit masih belum jelas.
- Jadi jika ibu bapa ingin mencuba, beberapa perkara perlu diberi perhatian.
- Gunakan produk yang jelas labelnya dan sesuai untuk kegunaan kulit.
- Mulakan dengan jumlah yang sedikit.
- Elakkan penggunaan jika bayi mempunyai ruam, luka atau kulit yang sedang bermasalah.
- Hentikan penggunaan jika berlaku kemerahan, kulit kering, gatal atau bayi kelihatan tidak selesa.
- Apa yang lebih penting, setiap bayi mempunyai keadaan kulit dan reaksi yang berbeza.