Cuci daging tak payah guna limau, tepung… Rempah dah cukup untuk hilangkan hamis
MENU berasaskan daging korban memang memang akan terhidang setiap kali musim Aidiladha.
Tapi dalam keterujaan nak makan sup, gulai atau kambing golek, ramai juga yang kurang gemar dengan bau hamis daging walaupun rasanya memang enak.
Sebenarnya, bau hamis itu bukanlah sesuatu yang susah nak dihilangkan.
Seorang individu dikenali sebagai Ustaz Halim berkongsi petua mudah untuk menghilangkan bau tersebut tanpa perlu menggunakan bahan dapur seperti limau, tepung atau asam jawa.

Menurutnya, cara paling mudah adalah dengan menggunakan rempah daging yang dijual di pasaran.
“Tak kisahlah nak buat sup ke atau kambing golek ke.
“Daging kambing basuh dia dengan rempah daging. Tak payah pakai limau, tepung atau asam jawa,” katanya.
Jelasnya lagi, selepas daging digaul bersama rempah, biarkan seketika kira-kira 10 minit sebelum dibilas kemudiannya dimasak.
MENARIK DIBACA: Daging korban perlu ‘rehat’ 7 jam sebelum dimasak, Ustaz Syamsul Debat beri penjelasan
MENARIK DIBACA: Elak buat 5 kesilapan biasa ini sebelum, semasa dan selepas sembelih haiwan korban
Kaedah itu bukan sahaja membantu menghilangkan bau hamis, malah turut membersihkan darah cair yang masih melekat pada daging.
“Daging lembu pun boleh juga. Dia tidak berbau hamis dan darah yang cair itu juga akan terus hilang,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan bahawa ramai masyarakat sering salah faham apabila menganggap bau hamis berpunca daripada kesilapan ketika proses sembelihan.
Menurutnya, tanggapan tersebut kurang tepat kerana faktor utama sebenarnya melibatkan cara pengendalian daging selepas disembelih.
“Bukan sebab orang tu tak pandai, tapi ia melibatkan proses untuk pastikan ia bersih dan toyyibban. Kaedah pengendalian yang penting,” katanya.