Enaknya jantung pisang cecah sambal belacan, tapi kalau lebam bantut selera! Ini teknik rebus cantik kejadian
SIAPA penggemar ulam atau sajian berasaskan jantung pisang?
Jantung pisang memang sinonim dengan masakan kampung seperti gulai, masak lemak, kerabu atau dicecah bersama sambal belacan.
Zaman dahulu, seepas dipetik memang ia akan terus dimasak kerana masih segar dan semestinya lebih enak.
Sebenarnya, jantung pisang yang dimasak dengan betul akan kekal putih di bahagian dalam, tidak 'lebam' dan bertukar hitam.
Bagaimanapun masih ramai yang menghadapi masalah jantung pisang menjadi kehitaman atau lembik selepas direbus.
Berikut adalah cara dan petua mudah untuk memastikan jantung pisang kekal sempurna, cantik dan tidak lebam selepas dimasak.

1. Didihkan air
Pastikan air benar-benar mendidih sebelum jantung pisang dimasukkan. Ini penting untuk mengelakkan perubahan warna.
2. Jangan belah
Masukkan jantung pisang ke dalam air mendidih dalam keadaan tidak dibelah. Cara ini membantu mengekalkan bentuk dan kesegarannya.
MENARIK DIBACA: Wanita terkedu mahkamah persoal anak makan 3 kali sehari, ada halia dalam resit tuntutan nafkah
MENARIK DIBACA: 7 tip, pantang larang masak sotong celup tepung! Salutan rangup, tak tertanggal
3. Tambah garam, minyak
Taburkan sedikit garam ke dalam air rebusan. Anda juga boleh menambah sedikit minyak masak untuk membantu mengelakkan jantung pisang daripada menjadi hitam dan melekat.
4. Tutup periuk
Tutup periuk semasa proses merebus bagi mengekalkan haba dan memastikan jantung pisang masak sekata.
5. 10 minit sahaja
Jangan terlalu lama merebus. Cukup sekitar 10 minit untuk memastikan jantung pisang lembut tetapi masih rangup.
6. Toskan sebelum dibelah
Selepas direbus, toskan jantung pisang dan biarkan sejuk sedikit sebelum dibelah atau dihiris mengikut keperluan masakan.