Buat sendiri sendiri guna tulang ikan, kaki ayam! Sumber tak diragui, kos murah
KOLAGEN antara makanan kesihatan yang sukar dicari, kalau ada pun kebanyakannya dalam bentuk produk kesihatan dengan harga agak mahal.
Malah, ada juga yang datang daripada sumber yang meragukan status halalnya, lebih-lebih lagi produk dari luar negara.
Menurut perkongsian seorang individu dikenali sebagai Hennabyirafaa di laman Threads, sebenarnya ada cara mudah untuk mendapatkan kolagen secara semula jadi iaitu dengan merebus tulang ikan dan kaki ayam.
Jelasnya, kolagen yang dihasilkan sendiri ini bukan sahaja lebih menjimatkan, malah terjamin dari segi sumber dan kebersihannya.

“Jeli kolagen dari rebusan ikan tu sebenarnya kolagen jenis 1. Kalau rebus tulang, kulit atau 'whole' ikan, memang kolagen datang dari kulit dan tulang.
“Jenis 2 kolagen pula dari kaki ayam, sendi ayam, tendon ayam dan lembu, termasuk jambul ayam.
“Kalau tak ada logo halal, sila 'research' dulu sebab kebanyakan kolagen dari Korea atau China tanpa logo halal mungkin datang dari sumber babi,” jelasnya.
Tambahnya lagi, setiap sumber menghasilkan jenis kolagen berbeza dengan manfaat tersendiri.
“Kalau makan jeli ikan, lebih kepada kulit, rambut, bulu dan kuku.
MENARIK DIBACA: Kaki ayam bukan sahaja kaya kologen, boleh kawal gula dalam darah dan kurangkan sakit sendi
MENARIK DIBACA: Bukan sekadar sedap dibuat jus, buah delima agen penghasil kolagen wajah
“Jenis 2 pula lebih fokus kepada kesihatan sendi,” katanya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai netizen yang teruja untuk mencuba membuatnya sendiri di rumah.
Tidak kurang juga yang berkongsi tip tambahan seperti memasukkan pelbagai jenis herba untuk menambah rasa serta khasiat.
“Terima kasih info! Patutlah kulit makin kusam, susah nak makan ikan.
“Good to know! Hari tu rajin buat kolagen jeli dari sisik ikan, lagi sedap bila campur kurma merah, longan dan beri goji,” antara komen netizen.

Di sini dikongsikan cara-cara nak hasilkan kolagen homemade:
- Bersihkan semua bahan khususnya kaki ayam atau tulang ikan.
- Rebus semua bahan dalam periuk bersama air hingga menenggelamkan bahan.
- Masukkan halia dan sedikit cuka.
- Reneh selama 4–6 jam (lagi lama, lagi pekat kolagen).
- Tapis air rebusan dan biarkan sejuk.
- Simpan dalam peti ais, ia akan menjadi bentuk jeli semula jadi.