Pengantin buat kenduri konsep 'potluck', terkejut tetamu 'sporting' bawa makanan penuh meja
MAKANAN menjadi perkara paling penting dalam majlis perkahwinan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan jumlah tetamu yang ramai.
Biasanya, tuan rumah akan menempah katering atau menyediakan sendiri pelbagai hidangan untuk menjamu tetamu yang hadir.
Bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan seorang pengguna Threads ini apabila dia memilih pendekatan berbeza untuk majlis perkahwinannya, iaitu konsep 'potluck'.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita berkenaan mengakui pada awalnya sedikit bimbang jika konsep itu membuatkan tetamu, terutama rakan-rakannya berasa kurang selesa kerana ia jarang dilakukan untuk kenduri kahwin.

"Hari tu, masa majlis aku kahwin. Aku buat tema potluck. Sumpah!
"Masa aku bagitahu kawan-kawan aku pun semua tak percaya. Lah, kena bawa makanan pula nak datang majlis," ujarnya.
Hantaran itu turut disertakan dengan tangkap layar menunjukkan senarai makanan yang bakal dibawa oleh rakan-rakannya ke majlis berkenaan.
Tanpa disangka, rakan-rakan yang hadir memberikan sokongan dan masing-masing membawa juadah enak untuk memeriahkan kenduri tersebut.
MENARIK DIBACA: Idea hidang ayam gepuk di majlis kahwin ditempelak, dianggap 'langgar' sajian kenduri Melayu
MENARIK DIBACA: Selesai makan masih lepak, kerusi kosong buat letak barang... Tetamu majlis kenduri dianggap ‘buta adab'
"Tapi disebabkan kawan-kawan saya sumpah 'best' semua, makanan dekat majlis saya penuh!
"Kau tengok 'list' yang saya dapat beberapa hari sebelum majlis. Ada yang tak masuk 'list' ya.
"Sebab tiba-tiba ada takoyaki sedap ya! Sekarang saya kena 'ready' bila diaorang kahwin, aku pula nak bawa makanan," katanya sambil berseloroh.
Perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen yang rata-ratanya tidak menyangka konsep 'potluck' boleh diterapkan dalam majlis perkahwinan.

Malah, ada yang menyifatkan konsep berkenaan sebenarnya mengingatkan mereka kepada tradisi rewang yang pernah diamalkan masyarakat suatu ketika dahulu.
"Wei seriuslah buat potluck. Sebab selalu bergurau je dengan mak. Tak sangka ada orang buat. Menarik.
"Kalau tak silap, macam ni la orang dulu-dulu rewang kahwin kan? Sekampung turun balai raya tolong tuan majlis masak-masak. Tak cukup tu, masing-masing datang majlis bawa lagi extra 'buah tangan'.
"Kena semua 'kepala best' dan 'sporting'. You are so lucky to have such a circle," antara komen netizen.
Selain dapat mengurangkan beban tuan rumah dari segi penyediaan makanan, konsep seperti ini juga boleh menjadi satu cara untuk mengeratkan hubungan antara keluarga dan sahabat.