Lepas promosi masakan 'ala rumah', anak terharu kedai ibu kena serbu - "Siapa buat mak saya menangis ni?"
SIAPA sangka, niat seorang anak membantu mempromosikan kedai makan ibunya di Threads akhirnya membawa rezeki luar biasa apabila pelanggan datang tidak putus-putus.
Begitulah yang berlaku selepas Nur Fatehatul Ain, berkongsi lokasi kedai makan milik ibunya yang terletak di Putrajaya.
Tidak menyangka perkongsiannya di media sosial mendapat sambutan luar biasa, Fatehatul meluahkan rasa syukur apabila orang ramai berpusu-pusu datang memberikan sokongan, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.
"Siapa buat mak saya sampai menangis ni? Baik mengaku!
“Masya-Allah, saya cuma mampu ucapkan terima kasih je pada yang begitu pantas ke kedai mak saya.

“Sejujurnya, berniaga sekarang memang mencabar. Tapi kentalnya mak saya ni susah saya nak cakap. Pernah 'sales' tak jejak 'even' RM1,000 pun sehari,” tulisnya.
Sebelum kedai ibunya tular, Fatehatul ada membalas hantaran seorang pengguna lain yang bertanyakan sama ada terdapat kedai yang menyediakan hidangan seakan-akan masakan ibu.
Tidak mahu melepaskan peluang untuk membantu perniagaan ibunya, dia kemudian berkongsi lokasi kedai yang terletak di Presint 15, Putrajaya itu pada hantaran berkenaan.
Katanya, semua lauk di kedai itu dimasak sendiri oleh ibunya, sekali gus memberikan rasa seperti menikmati masakan di rumah.
MENARIK DIBACA: Kedai nasi kandar didakwa guna taktik 'putar belit' untuk pelanggan bayar guna kod QR
MENARIK DIBACA: Kedai 'ghaib' lepas pelanggan buat aduan keracunan makanan, KKM tak dapat siasat
“Siapa dekat dengan Putrajaya, pergilah kedai mak saya kat Presint 15. Mak saya masak sendiri semua lauk. Memang rasa macam masakan rumah.
“Mak saya bahasakan diri dia ‘mak’ pada semua 'customer'. Jemputlah datang,” tulisnya.
Tanpa disangka-sangka, komen berkenaan mendapat perhatian ramai sehingga menyebabkan kedai ibunya mula dikunjungi pelanggan.
Lebih menyentuh hati, Fatehatul memaklumkan bahawa ibunya turut mengalirkan air mata kerana terlalu bersyukur melihat pelanggan datang tanpa henti.

Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi positif dalam kalangan netizen yang tumpang gembira melihat rezeki keluarga berkenaan.
Malah, beberapa pelanggan turut tampil berkongsi pengalaman mereka menikmati makanan di kedai tersebut selain memuji keenakan masakan dan layanan mesra ibunya.
“Bagitahu mak sis power tau. Anak saya meragam nak makan kuetiau goreng. Sekali nenek pujuk, elok mau makan nasi dengan ayam goreng.
“Sayalah salah seorang yang cakap saya dapat tahu kedai ni dari Threads tadi. Tapi serius saya cakap, sedap asam pedas daging tetel.
“Saya, isteri dan anak-anak kerap juga singgah makan. Anak-anak seronok makan, nenek masak sedap-sedap,” komen beberapa netizen.