'Shopping' snek di Pasar Filiina, terkejut harga RM500 - "Tak sangka kena scam di Malaysia"
PENGALAMAN membeli-belah ketika bercuti sepatutnya menjadi kenangan manis, namun berbeza buat wanita ini yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan di Pasar Filipina, Kota Kinabalu, Sabah.
Perkongsiannya itu meraih perhatian ramai apabila dia memuat naik dua keping gambar menunjukkan perbezaan harga ketara bagi barangan yang hampir sama.
Menurut wanita itu, dia tidak menyangka kejadian pelanggan ditipu peniaga juga boleh berlaku ketika membeli-belah di dalam negara.
"Tak sangka kena scam dalam Malaysia. Gambar pertama, RM200 banding gambar kedua, RM500.

"Ada ke yang dah pernah kena scam kat Kota Kinabalu? Semoga tak berkat rezeki abang tu," tulisnya.
Bagaimanapun, wanita itu kemudian memaklumkan tentang perkembangan terbaharu berhubung isu ini di ruangan komen.
Menurutnya, peniaga terbabit telah menghubunginya dan memulangkan semula lebihan wang setelah membuat pengiraan semula.
Berdasarkan tangkap layar perbualan dengan peniaga, stafnya didakwa tersilap membuat pengiraan.
"Dengan posting saya sebelum ni, saya dah dapat 'refund' daripada penjual. Jadi posting saya ni hanya nak cerah nama peniaga tersebut berniaga di Pasar Filipina.
MENARIK DIBACA: Berpada-pada makan steamboat dan grill, awas risiko kanser usus
MENARIK DIBACA: Kubis goreng memang buat ketagih, tapi awas boleh jadi penyebab kanser usus
"Terima kasih peniaga sebab bertanggungjawab membayar kembali lebihan harga dikenakan sebelum ni.
"Buat peniaga-peniaga di Pasar Filipina, minta jangan ulang benda ni lagi. Cari rezeki berkat. Terima kasih juga untuk komen dan tip membantu sebagainya. Kes selesai," katanya lanjut.
Wanita itu turut berharap kejadian tersebut dapat dijadikan pengajaran oleh semua peniaga agar lebih telus dalam menetapkan harga, selain mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak harga sebelum membuat pembayaran.

Dalam pada itu warganet termasuklah dari Sabah tampil memberikan pelbagai reaksi dan saranan kepada mereka yang bergelar pelancong.
"Tolong jangan ke sana, penduduk tempatan pun tak ke sana lagi.
"Kuih cincin tu saya beli RM5 atau RM6, pastikan ada kertas hijau dan dari Papar lebih sedap dan rangup.
"Kedai mana awak pergi ni. Jangan boikot semua. Kesian mama saya berniaga di sana dan dia tak pernah scam pelancong malah bagi diskaun banyak," komen netizen.
Berikut ringkasan tip yang diberikan netizen:
- Amplang/kuih cincin pek kecil RM10 dapat 3 pek (boleh campur)
- Amplang/kuih cincin pek besar RM15 , 1 pek
- Ikan bilis RM25 - RM35/kg ikut jenis
- Boleh minta nego sampai separuh, kalau peniaga enggan kurangkan boleh jalan ke kedai lain.
- Teh sabah, kopi tenom beli di pasar raya - Bataras, CKS.
- Wisma Merdeka atau Gaya street alternatif Pasar Filipina