Menakjubkan! Jepun perkenal mi segera pertama disediakan guna air sejuk
JENAMA mi segera terkenal dari Jepun, Nissin, tampil dengan inovasi baharu apabila memperkenalkan Cold Cup Noodles, produk pertama dalam sejarah jenama itu direka khas tanpa memerlukan air panas bagi proses penyediaannya.
Produk ini dijadual dijual di seluruh Jepun bermula 20 Julai 2026 dan dibangunkan khusus untuk memberi pilihan hidangan lebih menyegarkan, terutama ketika musim panas.
Berbeza dengan mi cawan biasa, pengguna hanya perlu menuang air sejuk disimpan di dalam peti sejuk ke dalam cawan mi dan menunggu kira-kira lima minit sebelum sajian sedia untuk dinikmati.
Menurut Nissin, pembangunan Cold Cup Noodles mengambil masa hampir lima tahun dan menggunakan teknologi baharu dipatenkan dikenali sebagai Cold Rehydrate Method.

Teknologi itu membolehkan mi mengembang dengan sempurna menggunakan air sejuk sambil mengekalkan tekstur kenyal serta rasa memuaskan.
Bagi pelancaran sulung itu, Nissin memperkenalkan dua pilihan perisa termasuk Spicy Kimchi dan Chicken Salt Lemon.
Perisa Spicy Kimchi menawarkan gabungan rasa pedas dan masam kimchi, manakala Chicken Salt Lemon pula menggabungkan rasa ayam bersama aroma lemon menyegarkan.
MENARIK DIBACA: [V] Jijik! Tular video tikus berkeliaran atas makanan di kedai malatang, KKM diminta ambil tindakan
MENARIK DIBACA: Peminat BTS bangga dapat merasa sisa air dari botol diminum salah seorang anggota
Bagaimanapun, perisa Spicy Kimchi didatangkan dengan kiub daging tidak halal, menjadikan produk tersebut tidak sesuai untuk pengguna Muslim.
Justeru, pengguna dinasihatkan supaya menyemak senarai ramuan dan status halal setiap produk sebelum membuat pembelian, terutama bagi makanan diimport dari luar negara.
Selain inovasi pada mi, Cold Cup Noodles turut mencuri perhatian kerana arahan penyediaannya berbeza daripada produk Cup Noodles biasa.
Pembungkusan produk itu memaparkan arahan supaya hanya menggunakan air sejuk bagi memastikan tekstur dan rasa dihasilkan menepati apa dibangunkan oleh pengeluarnya.

Cold Cup Noodles dijual pada harga 313 yen termasuk cukai atau sekitar RM10 mengikut kadar pertukaran semasa.
Pengenalan mi segara itu membuktikan inovasi dalam dunia makanan segera terus berkembang mengikut perubahan gaya hidup pengguna.
Sama ada bakal dipasarkan ke negara lain atau tidak, produk unik itu sudah pun mencuri perhatian ramai kerana menawarkan pengalaman menikmati mi segera dengan cara luar biasa.
Sebagai umat Islam, pengambilan makanan halal menjadi tuntutan agama perlu diberi perhatian.
Maka, pengguna disaran sentiasa menyemak senarai ramuan serta status pensijilan halal sesuatu produk sebelum membeli atau mencubanya terutama bagi produk diimport dari luar negara.