Beli sisa salmon sebab murah, tak sangka sedap sangat! Wanita kongsi cara perapan
SEORANG wanita mencuri perhatian selepas berkongsi pengalamannya membeli 'salmon trim' atau potongan sisa salmon yang dijual pada harga murah, tetapi akhirnya menghasilkan hidangan yang sangat menyelerakan.
Menurut perkongsiannya di Threads, dia membeli satu pek salmon trim dengan harga hanya RM16, jauh lebih murah berbanding potongan salmon biasa.
Pada mulanya dia sekadar ingin mencuba, namun tidak menyangka rasanya begitu sedap selepas dimasak menggunakan air fryer.

"Kalau jumpa salmon trim ni memang kami akan beli sebab murah dan sedap. Kadang-kadang kedai bagi lebih bahagian 'salmon belly', memang padu rasanya," katanya.
Tambahnya, 'salmon trim' sebenarnya sangat mudah dimasak dan tidak memerlukan perapan rumit bagi mencipta hidangan lazat untuk dinikmati seisi keluarga.
MENARIK DIBACA: Teknik mudah simpan daun ketumbar guna balang... Beli seikat tahan sebulan, aroma kekal segar
MENARIK DIBACA: [V] "Dulu nasi pun lembik" - Erma Fatima mengaku tak pandai masak, hanya masuk dapur lepas kahwin
Bahan-bahan
- 1 pek salmon trim
- 1 sudu besar serbuk bawang putih (atau bawang putih yang dicincang halus)
- 1 sudu besar cayenne pepper (boleh digantikan dengan paprika jika mahukan rasa lebih smoky)
- 1 sudu kecil lada hitam
- 1 sudu kecil Italian herbs
- 1 sudu kecil perasa cendawan (atau sedikit garam mengikut cita rasa)
Langkah penyediaan
- Gaul salmon trim bersama semua bahan perasa sehingga sebati.
- Susun salmon di atas rak 'air fryer' supaya minyak dapat menitis ke bawah semasa memasak.
- Masak menggunakan selama kira-kira 20 minit atau sehingga permukaan salmon menjadi garing dan keemasan.

Menurutnya, salmon akan mengeluarkan minyak semula jadi ketika dimasak, jadi tidak perlu menambah minyak.
Penggunaan rak 'air fryer' juga membantu menghasilkan tekstur yang lebih rangup tanpa salmon tenggelam dalam minyaknya sendiri.