Koko dibeli pada harga murah, penduduk usahakan jenama coklat premium sendiri
COKLAT sememangnya antara snek yang sukar ditolak, malah penggunaannya kini semakin meluas dalam pelbagai jenis makanan dan minuman.
Di sebalik permintaan yang terus meningkat, tanaman koko bukan sekadar menghasilkan coklat malah berpotensi memperkukuhkan ekonomi komuniti serta memelihara alam sekitar.
Trend itu turut dapat dilihat di Malaysia apabila pasaran produk coklat tempatan dijangka mencecah AS$462.1 juta menjelang 2031, didorong peningkatan permintaan terhadap coklat premium dan berkualiti tinggi.
Di negara jiran, Indonesia, sekumpulan wanita membuktikan bahawa pemprosesan koko mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi sambil melindungi sumber alam yang menjadi nadi kehidupan masyarakat.
Menerusi jenama Kayan Koa, penduduk Kampung Pejalin memproses biji koko menjadi produk premium serta memastikan lebih banyak nilai ekonomi kekal dalam komuniti setempat di bawah Kumpulan Usaha Bersama (Kube) Kita Merong.

Bagi Mardiatin atau lebih mesra disapa Ibu Yen, 38, koko membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar sumber pendapatan.
Kampung Pejalin kini berdepan tekanan susulan peluasan ladang kelapa sawit yang meliputi kira-kira 5,000 hektar berbanding hanya sekitar 1,000 hektar tanaman koko.
Walaupun keluasan tanaman koko jauh lebih kecil, ia memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan tadahan air serta mengekalkan landskap semula jadi yang menyokong kehidupan penduduk.
"Pada masa itu, koko memang ada di kampung ini tetapi kebanyakannya dibeli oleh orang luar pada harga yang rendah. Petani semakin hilang semangat. Kami berfikir, jika kami dapat memprosesnya sendiri di kampung, nilainya pasti jauh berbeza," katanya.
Peluang itu hadir apabila Kampung Pejalin menerima sokongan pembangunan ekonomi hijau menerusi program Ecological-Based District Budget Transfer (TAKE) pada penghujung 2023.
Dengan sokongan kerajaan kampung, kumpulan itu menerima peralatan pemprosesan koko pada 2024 sebelum mempelajari keseluruhan proses penghasilan coklat.
Menurut Mardiatin, usaha memproses koko di kampung sendiri bukan sahaja meningkatkan nilai tambah hasil tanaman, malah membantu mengelakkan penukaran guna tanah.

"Jika koko mempunyai nilai dan petani mampu menyara kehidupan melaluinya, mereka tidak akan mudah meninggalkan kebun mereka.
"Ini juga tentang melindungi sumber air dan tanah kami," katanya.
Kini, Kube Kita Merong menghasilkan pelbagai produk di bawah jenama Kayan Koa termasuk bar coklat, mentega koko, serbuk koko dan minuman koko segera.
Lima daripada sembilan ahlinya terlibat secara aktif memproses kira-kira 300kg biji koko kering setiap bulan.
Bagaimanapun, memastikan kualiti produk kekal konsisten masih menjadi cabaran berikutan masih terdapat petani yang menjual biji koko tanpa melalui proses penapaian.
"Kami tidak berani menerima biji koko yang tidak diperam kerana ia memberi kesan besar terhadap rasa dan kualiti.
"Oleh itu, kami juga perlu memberi pendidikan dan pendedahan kepada petani supaya proses penyediaannya dilakukan dengan betul," katanya.
MENARIK DIBACA: [V] Jijik! Tular video tikus berkeliaran atas makanan di kedai malatang, KKM diminta ambil tindakan
MENARIK DIBACA: Beli Musang King RM400, dapat isi hancur! Penjual 'refund' RM200 tapi tak ikhlas, mengaku 'tak halalkan'
Bagi meningkatkan standard pengeluaran, kumpulan itu bekerjasama dengan Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), manakala penyelidik dari Universitas Kaltara (UNIKALTARA) turut meneroka inovasi baharu seperti penghasilan coklat putih dan teh daripada kulit koko.
Inisiatif itu turut memberi manfaat kepada komuniti apabila Kayan Koa membeli biji koko daripada petani pada harga stabil antara 80,000 hingga 90,000 Rupiah (RM18 hingga RM20) sekilogram.
Perolehan bulanan perusahaan itu turut meningkat dari sekitar 3 juta hingga 5 juta Rupiah (RM679 hingga RM1,132) pada peringkat awal kepada kira-kira 16 juta Rupiah (RM3,622), selain membuka peluang pekerjaan kepada wanita dan golongan muda di kampung.
Ketika permintaan terhadap coklat premium terus berkembang, kisah Kampung Pejalin membuktikan bahawa nilai sebenar coklat bukan sekadar terletak pada keenakan rasanya.
Sebaliknya, ia turut bergantung kepada usaha memelihara alam sekitar, memperkukuh mata pencarian petani serta memastikan manfaat ekonomi terus dinikmati oleh komuniti yang mengusahakannya.