Indonesia mohon Unesco iktiraf 'Budaya Tempe', netizen pelik nama Malaysia kena 'petik'
TEMPE kini bukan lagi sekadar makanan harian yang mudah ditemui di warung atau pasar, malah berpotensi mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.
Indonesia secara rasmi mengemukakan Budaya Tempe kepada Unesco untuk diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara, sekali gus mengangkat nilai sejarah dan budaya di sebalik penghasilan makanan berasaskan kacang soya itu.
Menurut ASIAN Story & Heritage di Threads, pencalonan tersebut bukan sekadar mengiktiraf tempe sebagai makanan berkhasiat, malah meraikan pengetahuan tradisional, kemahiran pembuatan serta amalan komuniti dalam proses penapaian kacang soya yang berasal dari Pulau Jawa itu sejak zaman berzaman.

Usaha itu diterajui oleh Kementerian Kebudayaan Indonesia bagi memelihara teknik penapaian warisan nenek moyang, ilmu pemakanan serta identiti budaya negara itu di peringkat antarabangsa.
Hantaran tersebut menjadi perhatian apabila Malaysia turut dikaitkan, seolah-olah selama ini mahu 'merampas' hak ke atas makanan itu.
Netizen Malaysia bagaimanapun tenang dan tidak bermasalah untuk Indonesia memohon tempe diiktiraf sebagai budaya Indonesia.
"Jangan fitnah, kami tak makan tempe. Tak ada tempe setahun pun tak terjejas hidup kami, buat apa makan tempe kalau kami boleh dapat protein dari ayam dan lain-lain lagi. Ambil saja daftar Unesco, jangan fitnah Malaysia
"Ambillah tempe tu weh, tu kan makanan harian korang. Kitaorang kat sini hari-hari makan ayam, makan telur, makan ikan.
"Ya Allah tak pernah-pernah kitaorang nak 'claim' tempe tu. Kami pun tahu ia dari Indonesialah!" antara komen netizen Malaysia.
MENARIK DIBACA: Bergurau ke perli? Pelanggan terkejut buka bungkusan burger lepas minta salad lebih
MENARIK DIBACA: Kecewa bihun sup campur 'rupa' tak semenggah - "Pergi festival makanan kena belajar reda"
Sejarah, fakta menarik tempe
Tempe dipercayai berasal lebih 500 tahun lalu di Jawa dan dihasilkan menerusi proses penapaian kacang soya menggunakan kulat semula jadi Rhizopus oligosporus.
Bukan sahaja menjadi hidangan tradisi masyarakat Indonesia, tempe turut diiktiraf sebagai 'makanan super' kerana mengandungi protein berasaskan tumbuhan yang lengkap, semua asid amino penting, probiotik, serat, zat besi, kalsium serta vitamin B.
Berbanding tauhu, proses penapaian tempe membantu mengurangkan antinutrien, sekali gus menjadikan nutriennya lebih mudah diserap oleh tubuh.
Ia juga bebas kolesterol, rendah lemak dan lebih mampu milik sebagai alternatif sihat kepada daging serta produk tenusu.

Populariti tempe kini semakin berkembang di seluruh dunia apabila ia menjadi pilihan dalam kalangan vegetarian, vegan dan individu mengamalkan gaya hidup sihat.
Selain kaya dengan nutrien, penghasilan tempe juga mempunyai jejak karbon rendah serta menggunakan air lebih sedikit berbanding kebanyakan sumber protein lain, menjadikannya antara makanan lebih mesra alam.
Dari gerai makanan di Asia Tenggara hingga ke pasar raya di Eropah, Amerika dan Australia, tempe kini membuktikan bahawa warisan kulinari tradisional Indonesia terus relevan dalam memenuhi keperluan pemakanan moden.