Boleh ke bagi daging korban kepada orang bukan Islam? Ini penjelasannya
SETIAP kali tibanya Aidiladha, berkongsi daging korban menjadi amalan wajib dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Selain ahli keluarga dan golongan asnaf, jiran tetangga juga sering menerima agihan daging korban sebagai tanda persaudaraan dan kasih sayang sesama masyarakat.
Namun timbul persoalan, bolehkah daging korban diberikan kepada jiran bukan Islam?
Menurut perkongsian Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Islam sebenarnya mengajar umatnya supaya berlaku ihsan dan adil kepada semua manusia termasuk golongan bukan Islam yang hidup secara aman.
Malah, garis panduan berkaitan agihan daging korban turut disebut dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 36:
“Maka makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta…”

Menerusi perkongsian itu juga, Jakim menjelaskan bahawa semangat korban bukan sekadar menikmati juadah sendiri, tetapi turut menggalakkan umat Islam berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Maknanya, korban ni bukan untuk kita seorang buat rendang je. Ada bahagian untuk kita kongsi, yang pemalu tak minta, dan yang ‘sporting’ datang rumah bawa Tupperware,” kongsi mereka di laman Threads.
Dalam masa sama, beberapa mazhab turut mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu pemberian daging korban kepada orang bukan Islam.
Mazhab Hanafi misalnya mengharuskan pemberian daging korban sunat kepada jiran bukan Islam sebagai tanda hubungan baik dan sedekah.
Pandangan sama turut dikongsikan oleh sebahagian ulama Mazhab Hambali yang melihat ia sebagai satu bentuk ihsan selagi tidak melibatkan korban wajib atau nazar.
MENARIK DIBACA: Mufti perjelas hukum makan daging 'rare', 'medium rare' masih nampak darah
MENARIK DIBACA: Mandi air garam dan limau nipis baik untuk kesegaran tubuh, aura positif! Syirik jika niat tolak bala
Mazhab Syafie pula lebih berhati-hati dengan tidak membenarkan daging korban diberikan kepada orang bukan Islam atas alasan ibadah.
Mazhab Maliki tidak menghalang pemberian kepada bukan Islam tetapi ia juga tidak digalakkan.
Menurut Jakim, situasi setempat juga wajar diambil kira sebelum membuat keputusan.
“Kalau kat kawasan tu orang Islam semua dah kenyang makan sup tulang, dan jiran non-Muslim sebelah rumah tolong jaga rumah masa kita balik raya, apa salahnya hulur sikit daging korban tu.
“Tapi kalau daging tu cukup-cukup je nak bagi kat pakcik-pakcik masjid yang susah, utamakan mereka dulu.

“Atau katakan dalam kampung orang asli, yang datang bantu lapah daging bukan orang Islam sahaja, satu kampung termasuk yang non-Muslim turut sama bantu.
“Dalam situasi ni, lebih rahmah jika dikongsikan bersama daging korban tersebut. Islam ni ajar kita adil dan penuh hikmah,” jelasnya.
Perkara itu turut disokong menerusi firman Allah SWT dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama.”
Sudah terang lagi bersuluh, Islam bukan agama yang menyusahkan, sebaliknya agama yang menitikberatkan nilai rahmah, toleransi dan kebijaksanaan dalam kehidupan bermasyarakat selagi tidak bercanggah dengan syariat.