Rider dakwa staf kedai serbaneka simbah kuah oden panas - "Dua kali jawab cara kasar"
SEORANG penghantar makanan mendakwa menjadi mangsa tindakan kasar seorang pengurus di sebuah rangkaian kedai serbaneka terkenal selepas berlaku perselisihan faham berkaitan pesanan pelanggan.
Menerusi hantaran di TikTok, lelaki berkenaan berkongsi rakaman pendek memaparkan dirinya terkena kuah oden panas yang didakwa disimbah oleh seorang wanita ketika berada di kaunter premis berkenaan.
Menurut rider tersebut, dia hanya mahu mendapatkan penjelasan mengenai pesanan pelanggan sebelum wanita berkenaan didakwa menjawab dengan nada kasar.

"Terpaling manager branch. Saya tanya elok-elok fasal order ni, dua kali menjawab cara kasar.
"Saya tanya apa masalah nak kasar kurang ajar suara and jawapan? Saya nak rekod je terus dia simbah kuah kari oden panas-panas tu kat saya.
"Tak apa, kita tengok awak punya tahap kurang ajar tu sampai mana,” tulisnya pada hantaran tersebut.
MENARIK DIBACA: Ayam goreng, telur rebus 'bergabung' dalam periuk! Lauk acar ini diakui enak, istimewa
MENARIK DIBACA: Orang Itali sangat benci dengan piza 'topping' nanas, ini 3 sebabnya!
Video berkenaan kemudian tular dan menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya terkejut dengan dakwaan insiden tersebut.
Malah, ada individu tampil mendakwa pernah berdepan pengalaman kurang menyenangkan dengan pekerja di outlet sama sebelum ini.
"Alamak… saya ada bad experience dengan orang yang sama, outlet yang sama," dakwa seorang netizen.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang meminta orang ramai supaya tidak terus membuat kesimpulan kerana video yang dikongsikan didakwa tidak menunjukkan situasi penuh sebelum kejadian berlaku.
"Rider menekan sangat kot ni, kenapa video cut pendek sangat.
"Video tak penuh… mana video kau tanya elok-elok?” soal netizen.
Dalam pada itu, ada juga yang mengaitkan tekanan bekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B) serta peruncitan sebagai faktor yang boleh menyebabkan emosi pekerja terganggu.

"Kerja F&B dan retail memang penat dik. Sebab tu masa sekolah dulu belajar elok-elok, sambung belajar boleh kerja duduk santai je," ujar seorang lagi netizen.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pengurusan rantaian kedai serbaneka tersebut mahupun rider terlibat susulan insiden itu.
Apa pun situasinya, ramai berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu berkenaan secara baik selain menyerahkan perkara itu kepada pihak berkaitan untuk siasatan lanjut sekiranya perlu.
Sementara itu, menurut satu kenyataan dikeluarkan pihak kedai serbaneka itu kepada media, kakitangan berkenaan telah pun digantung kerja bagi siasatan lanjut.
Pengurusan kedai serbaneka berkenaan dalam kenyataannya menyebut pihaknya memandang serius insiden demikian dan memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil.