Wanita kongsi pengalaman masak laksa Johor untuk Tunku Azizah, dapat ilmu berharga gara-gara kacang panjang
SETIAP negeri di Malaysia sememangnya memiliki keunikan makanan masing-masing dan salah satunya adalah laksa Johor.
Laksa Johor mempunyai keistimewaannya tersendiri berbanding asam laksa Pulau Pinang, laksa Sarawak dan laksa Terengganu dari segi rasa dan bahan yang digunakan.
Makanan kegemaran ramai di bahagian selatan Semenanjung itu menggunakan mi spageti yang dimakan bersama kuah diperbuat daripada isi ikan parang.
Sebagai pelengkap hidangan, laksa Johor akan diletakkan hirisan sayur-sayuran seperti timun, tauge, bunga kantan, daun selasih dan kacang panjang.

Bagaimanapun terdapat pertikaian apabila ada sesetengah orang berpendapat kacang panjang tidak seharusnya digunakan ketika menghidangkan laksa Johor.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di Threads, wanita itu yang dikenali sebagai Zunainah Ali berkongsi pengalaman ketika menyajikan hidangan tersebut pada 2019 untuk disantap oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ketika itu bergelar Raja Permaisuri Agong.
Dalam hantaran tersebut, Zunainah berkata dia yang ketika itu bertugas di Melbourne, Australia telah diamanahkan untuk menyediakan hidangan laksa Johor untuk Tunku Azizah yang berkunjung ke sana.

"Ada terbaca tentang isu laksa Johor letak kacang panjang. Ada kata tak boleh letak, bunga kantan pun sama.
"Meh nak cerita pengalaman masak laksa Johor untuk Tengku Ampuan Pahang pada 2019 ketika saya bertugas di Melbourne.
"Satu hari bos maklumkan Permaisuri Agong (ketika itu) nak singgah pejabat kami sebab baginda kebetulan ada Woman Conference di Melbourne," kongsinya.
Kata Zunainah, memandangkan dia berasal dari Johor, pihak majikan memintanya untuk menyediakan hidangan laksa Johor, kerana baginda Tunku Azizah juga merupakan kerabat diraja Johor.
MENARIK DIBACA: Nelydia akui suami lebih handal masak, selalu buat kejutan - "Dia yang jaga perut saya"
MENARIK DIBACA: Aliff Syukri kongsi cara masak cumi 'style' Indonesia, katanya 'sumpah sedap'!
"Semua orang tahu saya dari Johor, jadi semua mata 'tala' kat saya.
"Saya bukanlah tak reti, tapi tak mahir. Mengenali baginda berasal dari Johor dan pakar memasak, lagilah saya seram.
"Tapi mahu tak mahu saya ambil juga tugasan ini," katanya.
Dipendekkan cerita, ketika hari kejadian wanita itu diberitahu bahawa Tunku Azizah mahu menemui individu yang bertanggungjawab menyediakan hidangan laksa Johor tersebut.
Katanya, baginda ingin mengetahui ikan yang digunakan untuk menyiapkan laksa Johor hasil air tangannya.

"Tiba-tiba seorang staf beritahu Tunku Azizah panggil tukang masak laksa Johor.
"Tunku Azizah tanya ikan yang digunakan dan saya jawab ikan tenggiri.
"Tiba-tiba Tunku Azizah tanya mana kacang panjang? Kenapa tak ada kacang panjang untuk aksesori (bahan sampingan)," kongsinya.
Pertanyaan Tunku Azizah ternyata membuatkan Zunainah terkedu kerana sepanjang hidupnya, dia tidak pernah melihat kacang panjang dihidangkan bersama laksa Johor.

"Baginda ajar saya sebagai orang Johor, kuah laksa boleh guna ikan parang, tenggiri dan sebagainya.
"Aksesori pula kena ada kacang panjang, taugeh, timun, bawang besar dan lain-lain.
"Jadi yang kata laksa Johor tak ada kacang panjang, baginda Tengku Ampuan Pahang sendiri beritahu saya supaya letak kacang panjang sebagai 'aksesori' dalam laksa Johor," jelasnya.
Di ruangan komen, ramai pengguna Threads terutama penggemar laksa Johor bersetuju bahawa kacang panjang 'wajib' ada dalam hidangan tersebut kerana dianggap pelengkap kepada laksa Johor.
"Tak ada kacang panjang, macam tak 'ngam' masa kunyah laksa Johor. Mesti ada rasa macam kurang sesuatu," kata seorang netizen.