Nelydia akui suami lebih handal masak, selalu buat kejutan - "Dia yang jaga perut saya"
TUJUH tahun mendirikan rumah tangga, pelakon dan usahawan, Datin Nelydia Senrose bersyukur dikurniakan suami yang bukan sahaja bertanggungjawab, malah handal memasak.
Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 31, ketika ditemui Kuali berkata, suaminya sememangnya memiliki bakat memasak dan lebih handal berbanding dirinya.
Kata Nelydia, suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid yang merupakan ahli perniagaan sering membuat kejutan dengan masakan air tangannya sebagai tanda sayangkan isteri.

"Sebenarnya bukan saya (isteri) yang jaga perut suami, tapi suami yang jaga perut saya.
"Sebab suami saya pandai masak. Malah cita rasa dia dalam masakan juga lebih berbanding saya.
"Suami saya juga selalu masak untuk buat saya kagum," katanya ketawa.
Ketika disoal sama ada suaminya cerewet tentang makan, Nelydia memberitahu lelaki itu tidak terlalu memilih namun makanan yang dimakan harus menepati seleranya.
MENARIK DIBACA: Satu persatu restoran ditutup sebab tiada pelanggan, syarikat pula tanggung hutang bilion ringgit... Ini 5 fakta menarik tentang Salt Bae
MENARIK DIBACA: Nak buat tiramisu tapi biskut ladyfingers mahal, rupanya guna bahulu pun lagi sedap!
"Alhamdulillah suami saya tidak cerewet bab makan, dia makan apa sahaja.
"Cuma ada makan-makanan tertentu kena menepati selera dia seperti makanan barat.
"Sebenarnya yang memilih bab makan adalah saya, tapi cuma sederhana, tidaklah terlalu cerewet melampau," ujarnya.
Bercerita tentang dirinya yang kini sedang berbadan dua, Nelydia tidak dapat menahan rasa gembira apabila bakal bergelar ibu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Sebagai wanita hamil, pemilik bersama restoran masakan Indonesia, Seminyak, itu lebih berhati-hati dengan pengambilan makanan dan mengutamakan sumber sihat untuk dirinya dan bayi dalam kandungan.
"Sudah tentu apa yang sama makan, akan memberi manfaat kepada bayi.
"Jadi saya sudah mula amalkan pemakanan sihat dengan nutrisi yang baik.
"Saya masih lagi makan yang sedap-sedap, cuma kena beringat supaya tidak berlebihan," jelasnya.