"Selalu nampak budak minum" - Ibu risau makin ramai gemar teguk minuman tenaga
PENGAMBILAN minuman tenaga (energy drink) sering dikaitkan dengan peningkatan stamina dan kecergasan, namun bukan semua golongan sesuai menikmatinya.
Kandungan gula dan kafein tinggi, kanak-kanak yang mengambilnya secara berlebihan boleh memberikan risiko kesihatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Seorang suri rumah, Maizatul Akmaliah Mohamed meluahkan kerisauan mengenai perkara ini.
Menurutnya, minuman tenaga berperisa kini mudah didapati di pasaran sehingga menjadi pilihan segelintir kanak-kanak tanpa kawalan.

Menerusi perkongsian di Threads, ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui risau melihat trend berkenaan yang disifatkan semakin membimbangkan.
"Peringatan untuk ibu bapa, guru-guru dan orang sekeliling. Ramai tak 'aware' hal ini. Selalu nampak budak-budak minum dekat kedai.
"Saya terbayang kalau minum hari-hari, kesannya pada masa depan, merisaukan," kongsinya.
Tambahnya lagi, minuman tenaga bukan sahaja terdapat dalam bentuk tin berjenama mahal, malah ada juga versi lebih murah seperti minuman bancuh juga mudah dibeli di pasar raya dan kedai runcit.
MENARIK DIBACA: Mengarut! Ibu bapa 'seram' tengok aneka jajan pelik jual dekat sekolah anak
MENARIK DIBACA: Harga barangan harian ‘mesra rakyat’.. Ini 10 fakta menarik Madani Mart
"Minuman tenaga ni dikira air tenaga murah, jenis bancuh. Kalau macam dalam tin tu mahal sikit. Tapi tetap kategori sama kandungan gula tinggi.
"Untuk jangka panjang memang bahaya, lagi-lagi kalau budak minum," kongsinya.
Maizatul turut berkongsi pandangan peribadi dirinya yang tidak gemar minuman tenaga sejak dahulu lagi kerana terlalu manis.
"Zaman saya dulu, nak minum air tenaga pun takut. Pernah rasa sikit tapi memang terlalu manis.

"Suami saya pun pernah minum waktu bujang, katanya badan jadi 'extra' sikit, konon bersemangat. Padahal masa tu gula tengah 'spike' dalam badan," katanya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian warganet yang turut bimbang dengan situasi berkenaan.
"Betul. Saya pernah jadi guru ganti di sekolah rendah, rata-rata budak-budak situ pernah minum air ni. Siap ada bawa bungkusan dari rumah dan minta pakcik kantin bancuhkan. 'Curious' juga apa yang sedapnya air ni.
"Ya, saya sebagai mak memang mengamuk kalau tahu mereka beli. Tapi tak boleh nak kawal sebab dibeli di luar sekolah. Kadang sampai dua ke tiga kali sehari. Habit bawa sampai kerja. Sekarang seorang anak saya dalam pantauan. Umur baru 20-an. Tolonglah ada kesedaran," antara komen netizen.