Program JPDE berjaya tingkatkan 70 peratus hasil tuaian padi di Selangor
PENDEKATAN moden yang diterapkan menerusi Program Jelapang Padi Darul Ehsan (JPDE) membuahkan hasil apabila merekodkan peningkatan ketara hasil tuaian padi, sekali gus memberi manfaat kepada pesawah dan memperkukuh pengeluaran beras tempatan.
Program JPDE mencatatkan rekod baharu menerusi purata hasil tuaian padi sebanyak 7.5 metrik tan sehektar bagi musim kedua 2025, peningkatan 70 peratus berbanding 4.4 metrik tan sehektar yang direkodkan bagi hasil tuaian padi Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pencapaian ini menunjukkan kejayaan pendekatan moden yang dilaksanakan melalui program ini mampu meningkatkan produktiviti sektor penanaman padi di Selangor.

“Kejayaan tersebut didorong menerusi pendekatan yang lebih sistematik, penggunaan teknologi moden, amalan pertanian yang lebih cekap, pengurusan ladang yang tersusun serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, PKPS dan komuniti pesawah.
“Selain dari segi peningkatkan hasil pengeluaran, program JPDE ini turut memberi pulangan ekonomi yang lebih baik kepada peserta program melalui peningkatan produktiviti sawah, di samping menyumbang kepada usaha meningkatkan pengeluaran beras tempatan secara mampan,” katanya kepada media.
Selain itu, PKPS juga akan terus memperluaskan penggunaan teknologi pertanian pintar dengan penggunaan dron dan jentera penanaman padi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah konvensional.
MENARIK DIBACA: Bahan asas cuma tepung dan air, ramai pertikai harga bagel cekik darah
MENARIK DIBACA: Dari baguette ke kare pan, kenali 7 jenis roti popular dunia dan kisah di sebaliknya
Menurut Mohamad Khairil, pencapaian program JPDE membuktikan bahawa pelaburan dalam teknologi, pemindahan ilmu dan pengurusan ladang yang sistematik mampu meningkatkan hasil pengeluaran secara signifikan, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan negeri Selangor bagi memperkukuhkan sekuriti makanan dan menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat.
JPDE merupakan antara projek perintis di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor yang melibatkan kawasan tanaman seluas 243 hektar dan disifatkan sebagai inisiatif yang membawa pembaharuan kepada industri penanaman padi di Selangor.
Program yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri Selangor menerusi PKPS ini turut mendapat sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memperkasakan sekuriti makanan negara serta meningkatkan taraf sosioekonomi pesawah.

Fasa pertama musim penanaman baharu telah bermula pada 4 Julai lalu dan dijangka membuahkan hasil menjelang awal Oktober ini.
Kejayaan ini secara tidak langsung mengukuhkan peranan PKPS sebagai peneraju pembangunan sektor agromakanan Selangor yang komited memperkenalkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi demi kesejahteraan pesawah dan jaminan bekalan makanan negara.
JPDE bukan sekadar sebuah projek pertanian malah menjadi simbol komitmen bersama dalam membina masa depan sekuriti makanan negara.