Bahan asas cuma tepung dan air, ramai pertikai harga bagel cekik darah
BILA dengar nama pastri seperti bagel, ramai yang terus membayangkan harganya yang mahal, lebih-lebih lagi jika dijual di kafe hipster dan kedai kopi premium.
Jadi tidak hairanlah harga bagel yang dijual sehingga mencecah puluhan ringgit sebiji mengundang perdebatan dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di Threads, dia berpendapat bagel tidak sepatutnya dijual pada harga sekitar RM20 sebiji memandangkan bahan asas untuk membuatnya cukup ringkas.
Menurutnya, bagel hanya menggunakan tepung dan air sebagai bahan utama, selain proses penyediaannya juga tidaklah terlalu rumit.

"Bagel tak sepatutnya dijual pada harga RM20. Sebenarnya ia bukanlah susah sangat untuk dibuat dan hanya menggunakan tepung serta air," katanya.
Dia turut menyifatkan kafe yang menjual bagel sehingga mencecah harga cekik darah RM30 sebiji sebagai tidak munasabah.
"Kafe yang jual bagel RM30 tu memang 'scam'," ujarnya.
Sekadar info, bagel diperbuat daripada bahan asas yang ringkas iaitu tepung gandum, air, yis, garam dan sedikit gula atau malt untuk membantu proses penapaian.
Selepas doh diperam, ia direbus seketika sebelum dibakar, menghasilkan tekstur yang kenyal di bahagian dalam dan kerak yang sedikit rangup di luar.
MENARIK DIBACA: Dari baguette ke kare pan, kenali 7 jenis roti popular dunia dan kisah di sebaliknya
MENARIK DIBACA: Pastri sanggup bayar mahal, kuih tradisi nak murah gila-gila! Pelanggan disaran ubah mentaliti lapuk
Perkongsian itu mencuri perhatian ramai, dengan rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan tersebut.
Mereka berpendapat harga bagel yang dijual di sesetengah kafe kadangkala tidak masuk akal, lebih-lebih lagi apabila hanya dihidangkan dengan inti yang ringkas.
Ada juga yang mengakui lebih gemar membuatnya sendiri di rumah kerana jauh lebih menjimatkan dan boleh disediakan mengikut cita rasa masing-masing.
"Nanti diaorang (peniaga) cakap tu harga nak 'cover' kos sewa kedai, elektrik dan gaji staf.
"Same case with salted bread. Buat sendiri lagi puas hati.

"Roti Yahudi, harga pun Yahudi," antara komen netizen.
Dalam masa sama, beberapa peniaga turut mengambil peluang mempromosikan bagel mereka yang dijual pada harga lebih mampu milik.
"Semalam saya jual RM3.90 sebiji je. Alhamdulillah banyak habis," kongsi seorang peniaga di ruangan komen.