Onedha bangkit, buka restoran lepas kemalangan! Pelanggan mat salih puji, orang tempatan pula geli masakan OKU
SEORANG individu yang pernah terlantar hampir dua tahun di katil hospital dan kehilangan kaki kanan akibat kemalangan motosikal kini mampu tersenyum melihat kedai makan miliknya semakin maju.
Tanpa latar belakang pendidikan tinggi dalam bidang perniagaan, Abdullah Affandi Md Yusop, 45, bangkit memulakan bisnes dengan modal kecil sekitar RM300 hasil simpanan sendiri.
Pernah viral dengan trademark 'segan la malu', dia mengakui bahawa ungkapan itu menjadi asbab orang ramai lebih mengenali dirinya serta restoran Onedha Lempaq Western.
Katanya, ungkapan itu bukan direka-reka, sebaliknya itulah yang sering diucapkan setiap kali berdepan dengan orang ramai.
Tidak pernah patah semangat membina semula kehidupan selepas terbabit kemalangan, dia memulakan kerjayanya sebagai pekerja butik pengantin sehingga akhirnya mengusahakan restoran yang kini dikenali ramai.

Status OKU
Mengimbau kembali detik hitam terbabit kemalangan pada tahun 2000, dia yang lebih mesra disapa Onedha berkata, hidupnya berubah sepenuhnya selepas kejadian dilanggar lori ketika dalam perjalanan membeli nasi goreng untuk keluarganya.
"Saya dilanggar lori pada waktu malam dalam keadaan jalan gelap dan lampu lori pun rosak. Semasa kejadian saya hampir hilang keupayaan di seluruh sebelah kanan badan dan lama terlantar di hospital," katanya.
Akibat insiden itu, dia bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal malah terpaksa menerima hakikat untuk meneruskan kehidupan sebagai OKU (orang kurang upaya).
Bercerita lanjut mengenai kisah dirinya untuk bangkit semula, dia mengakui sukar diterima bekerja di mana-mana tempat kerana berstatus OKU.
Kehidupannya ternyata penuh dengan ujian apabila dia juga tidak dapat menamatkan pengajian di UiTM Skudai, Johor dalam bidang sumber manusia kerana kekangan kewangan keluarga.
"Selepas sebulan keluar hospital, saya terus cari kerja. Pengajian tidak habis jadi saya buat kerja sambilan di sebuah butik pengantin sekitar Sungai Petani, Kedah.
"Saya tidak pernah menjahit tetapi di situlah saya belajar menjahit manik baju pengantin dan asas solekan pengantin sebagai mak andam," kongsinya yang kini masih melakukan tiga kerja dalam satu masa iaitu menjahit, jurusolek dan menguruskan perniagaan.

Bangkit dengan modal RM300
Bermodalkan hanya RM300 hasil simpanannya ketika itu, Onedha nekad memulakan perniagaan makanan barat (western) kecil-kecilan di depan rumah kira-kira dua dekad lalu.
"Saya mula bisnes 'western' ni depan rumah 26 tahun lalu, dalam pondok buluh dan atap sahaja, macam reban tapi enam bulan selepas itu roboh kena ribut.
"Lepas roboh saya buka pula khemah kecil tapi tak mampu urus sendiri jadi saya berhenti dan ambil pesanan dari rumah.
"Saya banyak pindah randah masa buat bisnes ini. Pernah juga saya sewa dan tumpang rumah kakak untuk urus bisnes kerana dia pindah ke Langkawi," kongsinya.
Kegigihan itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia kini mengusahakan restoran di Tikam Batu, Sungai Petani dengan dibantu sekitar 20 staf.

Hanya tiga menu
Berkongsi rutin harian, katanya, dia menguruskan sepenuhnya restoran bermula dari membeli bahan-bahan mentah di pasar.
Di Onedha Lempaq Western hanya tiga menu utama ditawarkan iaitu nasi goreng, tomyam dan hidangan western.
Harga pula bermula serendah RM8 hingga RM75 bagi menu istimewa seperti 'nasi goreng mix grill'.
Antara yang paling mendapat perhatian ialah tomyam air tangannya sendiri yang dijual pada harga RM17, dimasak tanpa menggunakan pes segera seperti di kebanyakan kedai lain.
MENARIK DIBACA: Chikuro cheese leleh jadi kegilaan! Ini cara buat sendiri... Tak payah beratur panjang, lebih jimat
MENARIK DIBACA: Gulai ikan Kedah dipuji sedap, tak sama negeri lain... Orang utara dedah rempah rahsia, cara masak
"Semua saya buat sendiri, tomyam saya penuh dengan isi udang dan ayam jadi tak terlalu banyak sayur.
"Idea tomyam ni dah 26-27 tahun lepas, buat masak sendiri untuk keluarga dan tak pernah belajar mana-mana.Campak- campak rasa sedap terus saya buat berniaga" katanya.
Untuk menu 'western' pula, dia mengekalkan konsep asli tanpa penggunaan keju atau mayonis sebaliknya menggunakan tiga jenis sos buatan sendiri bersama kentang rebus yang tidak dihancurkan.

Geli air tangan OKU
Seperti usahawan lain, Onedha turut berdepan kecaman di media sosial, termasuk dakwaan dan kritikan tidak berasas mengenai masakan yang dihasilkannya.
"Saya pernah menerima komen ‘geli makan makanan OKU masak’ tetapi apabila pelanggan datang sendiri mereka terdiam," katanya.
Namun baginya, dia mengambil positif segala kritikan dan sentiasa berharap ia terjawab apabila pelanggan sendiri hadir menikmati hidangan di restorannya.
"Bila orang datang sendiri mereka akan tahu rasa sebenar. Setiap orang ada air tangan masing-masing," katanya.
Selain itu dia juga pernah berdepan pengalaman pahit lain seperti diherdik pelanggan tanpa sebab.
"Pernah sekali seorang pelanggan yang mengaku cef hotel datang dan ‘membaling’ makanan di kaunter. Cakap makanan 'western' kami tak bagus dan suruh tutup kedai.
"Tapi dua minggu kemudian dia datang semula bersama keluarganya untuk makan di sini. Hingga kini saya tak pernah bertanya kenapa dia kembali," ceritanya.

Pelanggan puas hati
Kini dia boleh berbangga apabila mempunyai ramai pelanggan setia yang salah seorang daripadanya sanggup datang beratus kali dari Kuala Kedah ke restorannya, atau lebih tepat lagi 315 kali rekod kunjungan.
Malah ada juga pelanggan dari kalangan selebriti dan pelancong luar negara.
"Saya tidak sangka pelanggan paling jauh pernah datang dari Paris pada musim raya baru-baru ini. Seorang pelancong mat salih datang makan di sini selepas disyorkan oleh pemandu pelancong.
"Selama dua minggu dia berada di sini setiap hari dia datang dan memesan menu sama 'western' dan tomyam. Saya terkejut mat salih pun suka tomyam," kongsinya gembira.
Dengan pendapatan harian sekitar RM5,000, Onedha masih mengekalkan rutin harian di samping menjadi 'mak andam' dan menjahit manik baju pengantin.
"Bukan tak mahu tambah menu, memang nak tapi untuk tiga menu ini sahaja saya dah tak terkawal.. tak menang tangan. Alhamdulillah semakin hari semakin ramai," kongsinya ketika ditanya mengenai perancangannya akan datang.
Baginya, kejayaan hari ini bukan sekadar soal keuntungan tetapi kemampuan untuk membantu staf dan keluarga yang pernah melalui kesusahan seperti dirinya.
Dengan berkat doa dan sokongan daripada ibunya, dia yakin itulah penguat semangat sebenar untuk mencari rezeki buat keluarga.
Onedha juga memasang impian untuk mengembangkan empayar perniagaan ke tahap lebih besar.
"Impian saya adalah untuk memiliki restoran yang lebih besar atau sebuah wisma sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang. InsyaAllah," katanya.