Lelaki Britain pecah rekod dunia tanam labu gergasi! Lebih berat daripada badak putih
SEORANG penanam labu dari Britain sekali lagi mencipta sejarah apabila hasil tanamannya berjaya memecahkan rekod Guinness World Records sebagai labu paling berat di dunia pernah direkodkan.
Pemilik tapak semaian tanaman dari Hampshire, United Kingdom (UK), Ian Paton membuktikan usaha gigihnya selama berpuluh-puluh tahun membuahkan hasil apabila labu gergasi ditanam mencatatkan berat luar biasa iaitu 1,295.8 kilogram (kg).
Labu itu dikatakan lebih berat daripada seekor badak putih.

Pencapaian itu disahkan oleh Great Pumpkin Commonwealth (GPC) pada 3 Oktober lalu dan membolehkan dia merampas kembali gelaran yang pernah dipegangnya bersama saudara kembar, Stuart Paton pada tahun lepas.
Menurut laporan media antarabangsa, labu berkenaan dinamakan Bagheera, sempena watak harimau kumbang dalam karya klasik The Jungle Book seperti mana cadangan anaknya.
Lebih berat berbanding rekod tahun lalu
Pada Oktober 2025, Ian dan Stuart mencipta sejarah apabila labu hasil tanaman mereka yang diberi nama Muggle mencatatkan berat 1,278.8kg.
Kejayaan itu menjadikan mereka penanam dari Britain pertama menghasilkan labu paling berat di dunia yang direkodkan.
Rekod tersebut berjaya diatasi Ian tahun ini apabila Bagheera ditimbang 17kg lebih berat berbanding Muggle.
Menariknya, walaupun kehilangan gelaran labu paling berat, Muggle masih memegang rekod lilitan labu terbesar dengan ukuran 649.8cm.
Bagheera pula mempunyai lilitan 596.9cm namun beratnya yang lebih tinggi sudah cukup untuk meletakkannya di kedudukan teratas.

Berusaha seorang diri selepas kembar bersara
Di sebalik kejayaan luar biasa itu, perjalanan Ian bukanlah mudah.
Selepas lebih 50 tahun menanam labu gergasi bersama Stuart, Ian terpaksa meneruskan usahanya seorang diri tahun ini apabila abangnya mengambil keputusan untuk bersara selepas kejayaan mereka pada 2025.
Ian mengakui tanggungjawabnya menjadi lebih berat, malah dia menghabiskan sehingga enam jam sehari di kawasan tanaman selama dua bulan.
Bagaimanapun, segala penat lelah itu berbaloi apabila Bagheera berjaya mencatatkan rekod baharu.
Menurut Ian, menanam labu di dalam rumah hijau antara kaedah penting yang membantunya menghasilkan buah bersaiz luar biasa.
Teknik itu membolehkan tanaman mendapat permulaan lebih awal dan tempoh pertumbuhan yang mencukupi untuk mencapai saiz maksimum.
Siram hampir 600 liter air sehari
Proses membesarkan labu seberat lebih satu tan pastinya memerlukan penjagaan rapi terutama ketika Britain berdepan gelombang haba sepanjang musim panas tahun ini.
Ketika suhu di dalam rumah hijau mencecah 40 darjah celsius, tanaman Ian menerima sehingga 590 liter air sehari bagi membantu pertumbuhannya.
Jumlah itu bersamaan kira-kira tiga tab mandi penuh!

Lebih mengejutkan, Ian berkata sebiji labu boleh membesar daripada saiz bola golf kepada saiz gergasi dalam tempoh sekitar 120 hari.
Dalam keadaan tertentu, pertumbuhannya boleh mencapai kira-kira 32kg sehari.
Selain Bagheera, Ian turut menanam sebiji lagi labu besar bernama Baloo yang mempunyai berat 1,258kg ketika menyertai pertandingan Malvern Autumn Show pada September lalu.
Walaupun tidak memecahkan rekod dunia, Baloo ketika itu muncul sebagai labu kedua paling berat pernah direkodkan.
ENARIK DIBACA: Tip buat scone gebu, lembut dan berlemak... Awas, satu famili bakal ketagih!
MENARIK DIBACA: Minuman kafe Amazon paling laris ikut 'ranking', ramai pelancong Malaysia 'repeat'
Belum puas hati, sasar labu 1.3 tan lebih besar
Bagi Ian, kejayaan memecahkan rekod dunia bukanlah penamat kepada minatnya dalam bidang penanaman labu gergasi.
Sebaliknya, dia mahu terus mencabar kemampuan sendiri dengan menyasarkan labu seberat 3,000 paun bersamaan 1,361kg.
Hasrat itu dilihat bukan sesuatu yang mustahil memandangkan Bagheera sendiri sudah menghampiri sasaran berkenaan.
Lebih menarik, sebanyak lebih 2,600 biji benih berjaya dikumpulkan daripada Bagheera yang membuka peluang untuknya menghasilkan tanaman gergasi lebih mengagumkan pada masa akan datang.