Pengguna boikot keju popular AS gara-gara logo halal! Buang dalam tong sampah
JENAMA keju popular di Amerika Syarikat (AS) iaitu Tillamook mencetuskan bualan hangat selepas ada pengguna mempersoalkan logo halal yang tertera pada bungkusannya.
Memetik laporan Al Jazeera, logo itu mendorong segelintir rakyat AS melancarkan kempen boikot terhadap produk keluaran syarikat tersebut.
Malah, terdapat pengguna yang membuat tuduhan melampau dengan mendakwa syarikat itu sengaja menghasilkan produk berkaitan kumpulan al-Qaeda.

Kempen itu tersebar di media sosial apabila beberapa pengguna bertindak memuat naik video tindakan mereka membuang produk keluaran Tillamook ke dalam tong sampah sebagai tanda protes.
Tampil menjelaskan perkara sebenar, Tillamook menegaskan bahawa pensijilan halal bagi produk tenusunya bukan sesuatu yang baharu.
Majoriti produk kejunya telah mendapat pensijilan halal dan kosher sejak 2016.
MENARIK DIBACA: Kedai tiada sijil halal, tapi ada label ‘no pork, no lard’... Boleh ke pelanggan Muslim makan?
MENARIK DIBACA: 'Padah' beli cheesekut pasar malam, dapat biskut kering salut icing - "Sumpah tak halal"
Bagaimanapun, logo halal baru mula dipaparkan pada pembungkusan produk.
Untuk rekod, pasaran makanan halal di AS semakin berkembang susulan permintaan daripada pengguna Muslim serta peningkatan ketersediaan produk yang mempunyai pensijilan halal.
Laporan industri menganggarkan nilai pasaran makanan dan minuman halal AS adalah sekitar AS$60 bilion pada 2025.

Kempen boikot terhadap Tillamook bagaimanapun menerima kritikan ramai pengguna media sosial yang rata-rata menyifatkan perbuatan itu tidak berasas.
Malah ia dicetuskan atas dasar kebencian dan sentimen keagamaan tanpa benar-benar mempunyai pengetahuan mendalam tentang pensijilan halal.
"Orang Amerika Syarikat ramai tak pergi sekolah! Halal dengan Kosher tak ada beza pun, mereka boikot sebab benci saja," antara komen netizen.